PORT DICKSON, 1 FEB – Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Lelaki Siri 201/2024 dan Wanita Siri 49/2024 telah diadakan di Padang Kawad Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA), Port Dickson, hari ini.
Perbarisan ini diadakan bagi meraikan seramai 1,339 Perajurit Muda telah berjaya menamatkan latihan dan menyertai keluarga besar Tentera Darat.
Dari jumlah tersebut, seramai 1,010 adalah lelaki dan 329 lagi wanita.
Perbarisan ini telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan.
Menurut beliau, kesemua Perajurit Muda ini telah menjalani latihan selama 6 bulan semenjak 26 Julai 2024 lalu.
“Daripada jumlah tersebut, 2 daripada mereka mempunyai mempunyai kelulusan Ijazah Pertama, sementara 111 yang lain mempunyai kelulusan di tahap diploma, selainnya adalah STM, SPM dan sebagainya,” kata Hafizuddeain semasa sidang media selepas hadir menyempurnakan perbarisan tamat latihan.
Beliau menambah, kesemua Perajurit Muda ini akan bercuti selama 2 minggu sebelum melapor diri ke dalam kor atau pasukan masing-masing.

Seramai 329 Perajurit Muda Wanita telah berjaya mengharungi cabaran latihan selama 6 bulan di PUSASDA. Foto: Air Times/M Daim
“Mereka (Perajurit Muda) telah diagihkan ke dalam kor bagi memenuhi keperluan sumber manusia dalam Tentera Darat,” katanya.
Sementara itu, Tentera Darat dalam satu kenyataan berkata, Latihan Perajurit Muda adalah untuk melatih dan melengkapkan perajurit dengan pengetahuan asas ketenteraa serta kemahiran sebagai anggota tenterea sebelum diserapkan ke dalam Kor dan Rejimen dalam Tentera Darat Malaysia.
“Nodul latihan meliputi pembinaan karakter, pengetahuan ketenteraan, latihan jasmani, pengedalian senjata, kemahiran perang serta pengukuhan kerohanian untuk yang beragama Islam dan kelas Moral untuk yang bukan Islam,” kata kenyataan itu. – airtimes.my
#AirTimes #malaysia #pertahanan #PUSASDA #TenteraDarat