Home Semasa Peristiwa Israk Mikraj: Pupuk semangat bekerja lebih kuat – Anwar

Peristiwa Israk Mikraj: Pupuk semangat bekerja lebih kuat – Anwar

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 27 Jan – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengingatkan umat Islam mengenai kepentingan membugar pengalaman unik Rasulullah SAW dalam peristiwa Israk dan Mikraj sebagai inspirasi untuk bekerja lebih kuat dan berdisiplin.

Menerusi satu hantaran dimuat naik di Facebook beliau hari ini, Anwar berkata, Israk dan Mikraj bukan sekadar perjalanan spiritual, tetapi membawa amanah besar solat yang memberikan dampak mendalam kepada kekuatan dalaman umat.

“Keistimewaan yang dianugerahkan kepada Rasulullah SAW melalui perjalanan Israk dan Mikraj merupakan satu perjalanan spiritual yang hadir bersama amanah solat punya dampak yang besar kepada roh dan kekuatan dalaman umat,

“Simbol kepimpinan Baginda Rasulullah SAW mengetuai solat dalam kalangan para Rasul yang lain jua mengambarkan kepentingan umat Islam yang dipayungi oleh Rasulullah SAW,

“Pengalaman unik yang dialami oleh Baginda harus dibugar bagi memupuk semangat berkerja lebih kuat dan berdisplin mencapai ‘itqan fil amal’ serta teguh kepada pengabdian penuh kepada Allah SWT,” katanya.

Anwar berkata, ibrah (pengajaran) daripada peristiwa besar itu juga penting dalam konteks sejarah umat Islam khususnya peranan dua kota suci Mekah dan Baitulmaqdis.

Sehubungan İtu, katanya, ingatan dan doa kepada nasib rakyat Palestin yang tertindas dan terus mengalami penjajahan harus menjadi sebahagian sikap konsisten umat Islam dalam memperjuangkan maruah dan keadilan rakyat Palestin.

Peristiwa Israk dan Mikraj adalah mukjizat agung yang dikurniakan Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW. Antara peristiwa penting dalam Israk dan Mikraj adalah perintah kewajipan solat fardu lima waktu sehari semalam ke atas orang Islam.-airtimes.my

#Anwar #Malaysia #isramikraj #airtimes

Related Articles

Leave a Reply

error: Aha??? Nak buat apa tu?