Home Diskusi Kolumnis – Beret setara nyawa: Kebajikan anggota GGK bukan sekadar sewaktu persaraan

Kolumnis – Beret setara nyawa: Kebajikan anggota GGK bukan sekadar sewaktu persaraan

by Zaki Salleh

Menjadi anggota pasukan khusus merupakan impian diidam-idamkan oleh kebanyakan mereka yang bergelar perajurit negara.

Bagi segelintir, impak besar apabila menyertai pasukan tentera adalah menguji keteguhan mental dan keberanian melepasi latihan keras untuk bergelar anggota komando.

Dalam Tentera Darat Malaysia (Tentera Darat), Gerup Gerak Khas (GGK) satu nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi.

Untuk menyarung beret hijau, dipakaikan lanyard biru berserta pisau komando, seseorang perlu mengharungi tiga bulan dipenuhi cabaran serta dugaan menjalani kursus asas komando.

Tidak berhenti di situ, perjalanan karier komando diteruskan kerana mereka perlu menjalani latihan kepakaran tertentu bagi memantapkan kemampuan dalam melaksanakan tugas demi tanah air.

Mungkin bukanlah suatu rahsia bahawa latihan dan keupayaan pasukan khusus Tentera Darat ini amat dikenali di seluruh dunia sehingga mendapat liputan media asing.

Sudah tentu latihan dan kepakaran yang dimiliki oleh anggota GGK bukanlah calang-calang, malah diketahui bersifat keras.

Ia dijalankan secara kerap bagi memantapkan lagi ketahanan mental dan fizikal di samping mengasah kepakaran mereka sekiranya keadaan memerlukan.

Sememangnya perkara ini selari dengan ucapan yang Panglima 21 GGK, Mejar Jeneral Ahmad Shuhaimi Mat Wajab yang menegaskan pasukan Harimau Berjuang ini merupakan ‘the tip of the spear’ untuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Tentera Darat.

Malah, beliau menekankan bahawa anggota GGK perlu menjaga imej mereka sebagai ‘Special Force’s Operator’ yang berdedikasi kepada rakyat dan negara.

Kepakaran dan kemahiran anggota GGK adalah pelbagai. Mereka berkemampuan melaksanakan peperangan gerila, penyusupan, melakukan operasi menyelamat tebusan dan pelbagai lagi misi berprofil tinggi.

GGK sering terlibat dalam misi khas di luar negara, termasuk operasi Pasukan Pengaman PBB dan kolaborasi dengan unit khas negara lain.

Ini membuka peluang untuk pengalaman global dan pendedahan kepada pelbagai situasi.

Anggota GGK sedang melakukan latihan Spie-rig pada waktu malam. Foto: M Daim

Kebajikan suatu suntikan moral

Menyentuh hal anggota pasukan khusus tidak terlepas pada satu aspek yang cukup penting iaitu kebajikan dan moral.

Kebajikan bukanlah aspek yang perlu diambil perhatian semasa persaraan semata-mata.

Ini termasuk pada aspek elaun pasukan khusus yang diberikan perlu dan setanding dengan cabaran tugas dan cabaran ekonomi.

Bagaimana pun, elaun ini bukanlah dilihat sebagai menjadikan pegawai dan anggota GGK lebih istimewa berbanding anggota Kor yang lain, sebaliknya imbuhan tersebut adalah terjemahan kepada keyakinan negara dan rakyat terhadap mereka.

GGK adalah unit elit yang sering menghadapi tugas-tugas berisiko tinggi, memerlukan komitmen tinggi dan daya tahan yang luar biasa.

Ini juga membantu mereka mengekalkan keseimbangan antara kehidupan peribadi dan tugas profesional.

Ia boleh meningkatkan semangat berpasukan dan kecekapan operasi.

Pengiktirafan dan sokongan negara melalui pemberian elaun setimpal menunjukkan penghargaan terhadap pengorbanan mereka.

Ini juga memberi keyakinan kepada anggota bahawa masa depan mereka dan keluarga terjamin, walaupun selepas bersara.

Dengan memberi perhatian kepada kebajikan dalam bentuk pengiktirafan elaun, anggota GGK dapat berfungsi pada tahap optimum, menjadikan mereka aset yang lebih berharga untuk keselamatan dan pertahanan negara.

Negara wajar memberikan pengiktirafan sepatutnya yang setimpal dengan tahap risiko dan pengorbanan ini.

Related Articles

Leave a Reply

error: Aha??? Nak buat apa tu?