BRUGES (BELGIUM), 21 JAN – Malaysia, Belgium dan Kesatuan Eropah (EU), menyambut baik gencatan senjata di Gaza dan berharap Israel dapat mengekalkan keamanan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kesan gencatan senjata dapat menghentikan serangan ganas, zalim Israel ke atas Gaza.
Menurutnya lagi di sidang media pada akhir lawatan dua hari ke Belgium, langkah itu memberikan kelegaan kepada semua pihak apabila terdapat kesediaan Israel dan Hamas untuk mencari pendamaian.
Bagaimanapun, isu utama dan paling penting adalah usaha membangunkan semula Gaza yang hampir musnah seperti padang jarak, padang terkukur.
“Sekarang ini tanggungjawab bersama membangunkan semula Gaza, ” tegasnya yang juga menekankan pengaruh mereka ke atas Israel untuk mematuhi syarat-syarat pendamaian agar tidak gagal, selain menyaksikan perubahan.
Perjanjian gencatan senjata Gaza mula berkuat kuasa pada 11.15 pagi waktu tempatan Ahad lalu, selepas kelewatan beberapa jam akibat tuduhan Israel terhadap Hamas yang dikatakan melambatkan senarai tawanan yang akan dibebaskan.
Dalam pada itu, beliau turut menyampaikan ucaptama bertajuk ‘Bridging Regions: Strengthening Southeast Asia-European Resilience’ di College of Europe (COE) di sini, kira-kira 98 kilometer dari Brussels.
Terdahulu, dalam meningkatkan kerjasama dua hala serta bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa, beliau membuat satu pertemuan bersama Perdana Menteri Belgium, Alexande De Croo bagi membincangkan hubungan Malaysia- Belgium.
Beliau juga mengadakan perjumpaan dengan pegawai tertinggi EU, bermula dengan Kaja Kallas yang juga Wakil Tinggi EU bagi Hal Ehwal Luar Negeri dan Dasar Keselamatan/Naib Presiden Suruhanjaya Eropah (HR/VP) sebelum disusuli pertemuan empat mata dengan Pengerusi Majlis Eropah Antonio Costa.
Susulan itu, Perdana Menteri berlepas ke Switzerland bagi menghadiri Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos, selepas mengakhiri lawatan kerja dua hari di Belgium. -airtimes.my
#AirTimes #GencatanSenjata #Belgium #EU #Gaza