GAZA, 20 JAN 2025 – Seramai 90 tahanan Palestin telah dibebaskan Israel manakala tiga tebusan wanita Israel telah dibebaskan Hamas pada hari pertama pelaksanaan gencatan senjata yang bermula semalam.
Pembebasan ini merupakan sebahagian daripada perjanjian pertukaran tahanan yang dirundingkan dengan bantuan Qatar, Amerika Syarikat (AS) dan Mesir.
Walau bagaimanapun, jumlah tahanan Palestin yang dibebaskan adalah kurang lima orang daripada angka 95 yang diumumkan sebelum ini oleh Israel.
Senarai tahanan yang seharusnya dibebaskan pada Ahad, melibatkan 69 wanita, 16 lelaki, dan 10 remaja Palestin, termasuk Khalida Jarar, seorang ahli politik berusia 60 tahun yang terkenal dengan perjuangannya mempertahankan hak rakyat Palestin.
Bukan itu sahaja, gencatan senjata yang dijadual bermula pada jam 4.00 petang waktu tempatan terpaksa ditangguh hampir tiga jam lewat susulan serangan udara terakhir oleh Israel.
Oleh yang demikian, seramai 19 rakyat Palestin dilaporkan maut dengan 25 yang lain cedera.
Mengulas lanjut, tahanan Palestin yang dibebaskan tiba di bandar Beitunia, Tebing Barat, diiringi sorakan meriah dan nyanyian oleh orang ramai.
Manakala, tiga wanita Israel iaitu Emily Damari, Romi Gonen dan Doron Steinbrecher pula bertemu semula dengan keluarga mereka di sebuah hospital di tengah Israel selepas diserahkan oleh Hamas kepada Palang Merah.
Perjanjian gencatan senjata ini bukan sahaja menghentikan konflik selama 15 bulan yang menyebabkan kemusnahan besar di Gaza, malah bertujuan membuka laluan kepada bantuan kemanusiaan serta melaksanakan pertukaran tebusan dan tahanan yang lebih besar dalam minggu-minggu akan datang.
Menurut laporan AFP, Hamas dijangka membebaskan lebih 33 tebusan warga Israel, termasuk mereka yang ditahan sejak serangan pada 7 Oktober 2023, sebagai pertukaran kepada kira-kira 1,900 tahanan Palestin.
Sebagai tambahan, perjanjian tersebut turut memperuntukkan penghantaran tahanan Palestin yang menjalani hukuman penjara seumur hidup ke negara ketiga seperti Qatar dan Turkiye. -airtimes.my
#konflik #IsraelPalestin #Gaza #AirTimes