Isu gemuk dalam kalangan pegawai dan anggota polis sekali lagi menarik perhatian apabila ia menjadi syarat untuk melepasi proses kenaikan pangkat.
Ditegaskan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, indeks jisim badan (BMI) kurang daripada 28 diletakkan sebagai prasyarat tersebut.
Sebagai pemimpin nombor satu PDRM katanya, inisiatif ini penting untuk memastikan kesihatan dan kemahiran anggota polis, sekali gus meningkatkan keupayaan mereka untuk berkhidmat.
Merujuk kepada carta BMI, kiraan pada angka di bawah 28 iaitu antara paras 25 hingga 27.9 diklasifikasikan sebagai terlebih berat badan atau ‘overweight’.
BMI adalah bacaan bagi mengukur saiz badan dan obesiti atau kegemukan. Berat normal atau ideal adalah antara 18.5 hingga 24.9.
Bacaan ini mengambil kira tinggi dan berat badan seseorang bermakna, angka yang diperolehi hendaklah sesuai mengikut postur tubuh.
Sebenarnya, isu gemuk dalam pasukan polis bukan baharu, malah ia telah kerap kali ditegaskan oleh kepimpinan pasukan tersebut.
Kira-kira 11 tahun lalu, peringatan tentang obesiti ditekankan Pengarah Jabatan Pengurusan PDRM Bukit Aman, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun,
Pegawai dan anggota PDRM yang mempunyai masalah obesiti melampau akan diberi peringatan tegas dan peluang kenaikan pangkat mereka juga boleh terjejas.
PDRM juga tegasnya tidak akan bertolak ansur dengan pegawai atau anggota yang mengalami obesiti keterlaluan kerana boleh mengganggu tugasan serta mengakibatkan masalah kesihatan.
Peringatan sama ditekankan Pengarah Pengurusan Bukit Aman pada tahun 2016, Datuk Zulkifli Abdullah apabila memberitahu 11,274 daripada 109,304 pegawai dan anggota PDRM dikesan mengalami masalah obesiti.
Tegasnya, PDRM akan menggunakan modul pemakanan dan penjagaan kesihatan khas dikeluarkan Kementerian Kesihatan untuk menangani masalah obesiti anggotanya.
Program Trim N Fit ini disediakan Kementerian Kesihatan yang mengenal pasti program pemakanan dan senaman sesuai untuk BMI ideal bagi seorang anggota polis.
Justeru, wujud persoalan sepanjang tempoh peringatan daripada dua pengarah pengurusan PDRM ini, sejauh manakah keberkesanan amaran tersebut?
Nasihat tentang kegemukan juga disuarakan Ketua Polis Negara tahun 2019, Tan Sri Abdul Hamid Bador yang mahu pegawai dan anggota polis menangani isu kegemukan melalui inisiatif sendiri termasuk melakukan senaman serta mengamalkan gaya hidup sihat dan pemakanan yang betul.
Bercakap tentang obesiti atau kegemukan tiada kaitan dengan mengejek tubuh atau ‘body shaming’ apatah lagi dalam konteks pasukan keselamatan seperti polis.
Memang diakui ada individu yang naik berat badan disebabkan sakit atau kesan daripada pengambilan ubat serta pemakanan tertentu yang disarankan doktor.
Itu adalah hal yang berbeza kerana fokus persoalan adalah kepada pegawai dan anggota yang masih muda, dalam lingkungan aktif dan bertenaga.
Berat badan berlebihan atau gemuk berlaku disebabkan simpanan lemak dalam badan yang berlebihan.
lni apabila seseorang itu makan berlebihan atau mengambil tenaga (kalori) daripada makanan melebihi daripada tenaga yang digunakan untuk aktiviti fizikal harian.
Tenaga daripada makanan yang berlebihan akan ditukar kepada lemak dan disimpan di dalam badan.
Orang yang mempunyai berat badan berlebihan lebih mudah mendapat penyakit kronik, misalnya sakit jantung, tekanan darah tinggi, kencing manis berbanding individu berat badan normal.
Selain itu, individu dengan berat badan berlebihan mempunyai keupayaan fizikal atau kecergasan lebih rendah berbanding dengan orang normal.
Oleh itu mereka yang mempunyai kandungan lemak badan boleh dikurangkan dengan melakukan latihan fizikal yang teratur berserta dengan pemakanan yang sihat.
Program aktiviti fizikal semata-mata tidak dapat menjamin kesihatan badan tanpa disertai dengan amalan pemakanan yang betul.
Kesimpulannya, semua anggota dan pegawai pasukan keselamatan perlu bebas daripada kegemukan bagi melahirkan pasukan yang sihat selain mengelakkan mereka kecundang kerana penyakit.-airtimes.my
#PDRM #airtimes #BMI #pangkat #Malaysia