Home Semasa Tuanku Muhriz mahu tindakan tegas terhadap pihak menyimpang daripada Islam

Tuanku Muhriz mahu tindakan tegas terhadap pihak menyimpang daripada Islam

by Nurulhuda

KUALA PILAH, 14 JAN – Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bertitah agar tindakan tegas diambil terhadap mana-mana pihak yang menyimpang daripada ajaran Islam sebenar mengikut Enakmen Syariah negeri.

Baginda menyeru pihak berkuasa agama negeri untuk sentiasa memantau dan menyebarkan maklumat mengenai individu atau kumpulan yang menyebarkan ajaran sesat kepada masyarakat, bagi memastikan kejadian ajaran sesat seperti yang pernah dilaporkan, tidak berulang.

“Beta juga menyeru kepada rakyat beragama Islam, agar lebih berhati-hati dan membuat semakan terlebih dahulu sebelum mengikut sebarang pengajian ilmu agama. Ini penting untuk mengelakkan kita daripada mengikut ajaran yang salah dan mempunyai agenda terselindung di sebalik perkataan Islam,” titah baginda seperti yang dilapor Bernama.

Tuanku Muhriz bertitah demikian pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat sempena Hari Keputeraan ke-77 baginda di Istana Besar Seri Menanti, di Kuala Pilah hari ini.

Selain itu, Tuanku Muhriz bertitah agar kerajaan negeri mengambil kira perkembangan terkini dalam memodenkan pentadbiran dan perancangan pembangunan negeri, memandangkan penguasaan teknologi juga merupakan satu daripada indikator dalam menilai kemajuan.

Baginda bertitah bahawa aplikasi teknologi terkini dalam pentadbiran mampu mengoptimumkan proses kerja, selain menjimatkan kos dan meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan.

“Justeru, penggunaan teknologi terkini perlulah diperkasakan dan dijadikan antara agenda utama pembangunan negeri. Langkah ini pasti akan melancarkan pelaksanaan program pembangunan yang akan meningkatkan pertumbuhan pelbagai sektor ekonomi negeri,” titah baginda.

Selain itu, Tuanku Muhriz menzahirkan harapan supaya pentadbiran kerajaan negeri dapat memastikan sumber negeri dioptimumkan penggunaannya menerusi koordinasi semua pihak untuk kebaikan dan kesejahteraan rakyat.

Tuanku Muhriz juga menzahirkan harapan agar pentadbiran kerajaan negeri dapat memastikan sumber negeri dioptimumkan penggunaannya melalui koordinasi semua pihak, demi kebaikan dan kesejahteraan rakyat.

“Pengurusan alam sekitar yang cekap dan berkesan mampu mengurangkan risiko bencana alam seperti banjir dan tanah runtuh. Justeru, usaha pembangunan mesti seiring dengan pemuliharaan alam sekitar agar negeri dapat diwariskan kepada generasi akan datang dalam keadaan yang baik,” titah baginda.-airtimes.my

#semasa #ajaransesat #negerisembilan #Malaysia #airtimes

Related Articles

Leave a Reply

error: Aha??? Nak buat apa tu?