Home Semasa Perjanjian gencatan senjata di Gaza hampir dimuktamadkan

Perjanjian gencatan senjata di Gaza hampir dimuktamadkan

by Zulhaizi Rosdi

DOHA, 14 JAN – Perjanjian gencatan senjata dan pembebasan tebusan antara Hamas dan Israel hampir mencapai kata sepakat.

Perkembangan itu dikongsikan oleh Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden yang memaklumkan bahawa perjanjian gencatan senjata itu semakin hampir dimuktamadkan antara kedua-dua pihak.

Sementara itu, Penasihat Keselamatan Negara Rumah Putih, Jake Sullivan, berkata perjanjian gencatan senjata mungkin dimuktamadkan, minggu ini.

“Saya tidak membuat janji atau ramalan, tetapi ada peluang ia berlaku dan kami akan berusaha untuk merealisasikannya,” katanya.

Seorang pegawai Israel memberitahu agensi berita Reuters bahawa rundingan damai berada dalam peringkat lanjutan dengan perjanjian itu gencatan senjata mungkin akan berlaku dalam beberapa jam, hari atau lebih.

Pegawai Palestin memberitahu agensi berita BBC bahawa Hamas dan pegawai Israel sedang mengadakan perbincangan tidak langsung di bangunan yang sama pada hari Isnin.

Pegawai itu mendedahkan beberapa butiran potensi perjanjian itu dan menyatakan bahawa perbincangan teknikal terperinci mengambil masa yang agak lama.

Kedua-dua pihak bersetuju bahawa Hamas akan membebaskan tiga tebusan pada hari pertama perjanjian, selepas itu Israel akan mula mengundurkan tentera dari kawasan berpenduduk.

Tujuh hari kemudian, Hamas akan membebaskan empat tebusan tambahan, dan Israel akan membenarkan orang yang dipindahkan di selatan kembali ke utara, tetapi hanya berjalan kaki melalui jalan pantai.

Kereta, kereta haiwan dan trak akan dibenarkan melalui laluan bersebelahan dengan Jalan Salah al-Din dengan dipantau oleh mesin X-ray yang dikendalikan oleh pasukan keselamatan teknikal Qatar-Mesir.

Perjanjian itu termasuk peruntukan untuk tentera Israel kekal di koridor Philadelphia dan mengekalkan zon penampan sepanjang 800 meter di sepanjang sempadan timur dan utara semasa fasa pertama selama 42 hari.

Israel juga telah bersetuju untuk membebaskan 1,000 tahanan Palestin, termasuk kira-kira 190 yang telah menjalani hukuman 15 tahun atau lebih. Sebagai pertukaran, Hamas akan membebaskan 34 tebusan.

Rundingan untuk fasa kedua dan ketiga perjanjian itu akan bermula pada hari ke-16 gencatan senjata.

Selain itu, seorang pegawai Palestin berkata, pusingan rundingan ketika ini adalah rundingan yang paling serius dan mendalam serta terdapat kemajuan ketara dalam proses rundingan. -airtimes.my

#Palestin #Hamas #KonflikPalestin-Israel #Perjanjian #Gencatansenjata #semasa #Airtimes

Related Articles

Leave a Reply

error: Aha??? Nak buat apa tu?