KUALA LUMPUR, 14 Jan – Sumbangan Asas Rahmah (SARA) akan disalurkan melalui kad pengenalan (MyKad) secara bulanan kepada 700,000 penerima miskin dan miskin tegar seluruh negara bermula esok.
Kementerian Kewangan menerusi kenyataan memaklumkan kadar bantuan SARA ditingkatkan dengan isi rumah miskin dan miskin tegar dalam rekod eKasih bakal menerima sejumlah RM2,100 bagi tahun 2025 berbanding RM1,200 pada 2024.
“Bantuan SARA sebanyak RM100 sebulan akan dikreditkan ke dalam MyKad penerima bagi bulan Januari hingga Mac 2025. Bermula April 2025, kadar bantuan ini akan ditingkatkan kepada RM200 sebulan,
“Mekanisme yang seragam ini adalah penambahbaikan daripada tahun lalu, berbanding penyaluran bantuan secara tunai du akali setahun kepada penerima SARA yang bermaustatin di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan,” kata MOF.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penyaluran SARA melalui MyKad dibuat bagi memastikan golongan miskin menerima manfaatnya dalam bentuk barangan termasuk makanan asas.
“Menjunjung prinsip kesaksamaan dan nilai manusiawi yang menghidupkan kerangka Ekonomi Madani, penyusunan semula kewangan kerajaan ini memastikan hasilnya dapat memanfaatkan rakyat terbanyak,” katanya.
Anwar menjelaskan, penambahbaikan SARA merangkumi sebahagian daripada peningkatan peruntukan Belanjawan 2025 bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA ke tahap tertinggi dalam sejarah iaitu RM13 bilion berbanding RM10 bilion pada tahun lalu.
Tambahnya, selain daripada itu, 5.4 juta penerima STR turut akan menerima bantuan tambahan SARA mulai April 2025.
“Ini terdiri daripada 700,000 penerima SARA sedia ada dan 4.7 juta penerima STR sedia ada yang tidak berada dalam rekod eKasih,
“Bagi kategori isi rumah, tambahan sumbangan SARA adalah sebanyak RM100 sebulan,
“Manakala, golongan warga emas tiada pasangan pula akan menerima sumbangan tambahan SARA sebanyak RM50 sebulan,” jelas MOF lagi.
Di bawah program SARA, penerima boleh membeli barangan keperluan asas terpilih dengan menggunakan MyKad di kedai-kedai runcit berdaftar yang kini berjumlah lebih 1,200 buah di seluruh negara, berbanding 700 buah pada tahun 2024.
“Penerima SARA boleh menggunakan kredit yang disalurkan untuk membeli barang keperluan asas terpilih di bawah kategori barangan kebersihan diri, ubat-ubatan dan peralatan persekolahan, selain daripada barang makanan asas,” ujarnya lagi. -airtimes.my
#semasa #Malaysia #anwar #SARA #bantuan #airtimes