Home Semasa PLKN 3.0: Persediaan pelaksanaan pada tahap terbaik

PLKN 3.0: Persediaan pelaksanaan pada tahap terbaik

by Aqilah Azman

KUALA LUMPUR, 13 JAN – Kementerian Pertahanan memaklumkan pelaksanaan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 bermula hari ini, persediaan oleh kerajaan berada pada tahap terbaik.

Menurut Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, penginapan, kesihatan dan makanan yang disediakan termasuk dalam penyediaan kepada pelatih untuk memastikan program berjalan dengan lancar.

“Program hari ini adalah program perintis dan akan ada lagi tiga siri latihan PLKN pada tahun ini dan kita akan meneliti perjalanan kesemua siri latihan ini dan akan melakukan penambahbaikan jika terdapat sebarang kekurangan,” katanya.

Justeru, pelaksanaan program yang dijalankan secara berperingkat ini bagi memupuk semangat patriotisme, perpaduan nasional dan jati diri dalam kalangan golongan muda selain melengkapkan dengan ketahanan menghadapi cabaran hidup menerusi latihan fizikal dan mental.

Mohamed Khaled berkata, selain menanam semangat patriotisme, PLKN 3.0 berperanan untuk memupuk semangat perpaduan dalam kalangan peserta.

“Negara kita merupakan sebuah negara majmuk, kekuatan negara hanya boleh datang sekiranya (rakyatnya) sama-sama mempunyai semangat hormat-menghormati, toleransi menerima antara satu sama lain, seperti apa yang Perdana Menteri kata bukan saja soal kenal tetapi sayang dan cinta antara satu kaum dengan kaum yang lain, maka hanya dengan demikian baru negara kita kuat,” katanya dalam ucapan di Kem Rejimen 515 Askar Wataniah, Kuala Lumpur malam tadi.

Pada masa sama, beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua peserta yang hadir secara sukarela bagi menjalani program berkenaan, selepas sesi perjumpaan bersama pelatih PLKN 3.0 Siri 1/2025.

Seramai 120 pelatih sukarela dari seluruh negara telah melapor diri di kem berkenaan bagi mengikuti PLKN 3.0 pada pagi hari ini, yang bermula secara rasmi selepas tujuh tahun dimansuhkan.

Dalam pada itu, beliau turut meninjau dewan makan dan penginapan peserta di kem tersebut. -airtimes.my

#AirTimes #PLKN #PLKN3.0 #Malaysia

Related Articles

Leave a Reply

error: Aha??? Nak buat apa tu?