KOTA TINGGI, 13 Jan – Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) telah menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir dengan menyalurkan sebanyak 564 kit bantuan bencana ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di daerah ini pada Sabtu dan Ahad lepas (11 dan 12 Januari).
Menurut hantaran di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang dimuat naik hari ini, sumbangan berkenaan dikumpulkan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin dengan bantuan Askar Timbalan Setia Negeri Johor (JMF) sebelum disampaikan kepada penerima.
Pengurus Kanan YSIJ, Shah Reza Md Kanafe berkata, pihaknya sentiasa bersedia untuk mempersiapkan bantuan kepada mangsa banjir agar mereka dapat menerima bantuan segera selepas ditempatkan di PPS.
“Setakat ini (12 Januari), sebanyak 12 buah PPS di Kota Tinggi telah menerima kit bantuan bencana yang disampaikan oleh anggota JMF,
“Saya amat berharap sumbangan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban mangsa banjir,” ujarnya.
YSIJ turut merakamkan penghargaan kepada JMF atas kerjasama mereka dalam memastikan bantuan dapat disampaikan dengan lancar kepada mangsa yang memerlukan.
Hadir menerima barangan sumbangan ialah Pegawai Askar Timbalan Setia Negeri Johor, Leftenan Mohamad Farid Embok Mosik.
Keadaan banjir di Johor semakin buruk apabila terus mangsa meningkat kepada 3,973 orang daripada 1,113 keluarga yang berlindung di 38 PPS, setakat jam 8 pagi tadi.
Ia berbanding seramai 3,779 mangsa banjir (1,023 keluarga) dipindahkan ke 36 PPS di lima daerah terjejas bencana itu, setakat jam 4 petang semalam.
Lima daerah berkenaan ialah Kota Tinggi dan Kulai mencatat pertambahan bilangan mangsa banjir, manakala mangsa di Johor Bahru, Pontian dan Kluang tidak banyak berubah.-airtimes.my
#airtimes #semasa #banjir #YSIJ #bantuan #Malaysia