Pada artikel lalu, Air Times telah mengupas mengenai isu pokok di sebalik sewaan 28 buah helikopter kepada agensi kerajaan. Dalam siri kali ini, kita menyentuh mengenai mekanisme perlindungan insurans dan juga kesan kaedah ini kepada industri serta kerajaan.
Setiap kali berlaku nahas udara membabitkan aset ATM, ia seringkali menjadi tajuk utama media sehingga beberapa hari, malah menjadi perbahasan hangat.
Nahas udara adalah sesuatu yang selalunya berlaku di luar kawalan.
Apabila nahas berlaku, isu utama di samping kehilangan ‘aset’ iaitu sumber tenaga manusia terlatih yang tiada galang ganti dan kelengkapan ialah jumlah pesawat yang ada berkurangan.
Sama ada disedari atau tidak, dalam tempoh 10 tahun lalu telah berlaku enam nahas udara membabitkan kehilangan 7 helikopter milik ATM dan agensi keselamatan lain.
Masih memberi kesan kepada negara ialah nahas pelanggaran helikopter AS555 Fennec dan Helikopter Operasi Maritim (HOM) AW139 di Pangkalan TLDM Lumut pada April tahun lalu.
ATM kehilangan dua helikopter serentak, malah HOM merupakan aset yang paling baharu dimiliki.
Sebulan sebelumnya iaitu Mac, APMM kehilangan sebuah helikopter AW139 setelah terhempas semasa latihan berhampiran perairan Pulau Angsa, Selangor.
Pada Julai 2023, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia hilang sebuah helikopter AW189 yang terhempas dekat Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Selangor.
Dua nahas pula membabitkan aset Pasukan Gerakan Udara PDRM iaitu helikopter AW139 yang kemalangan di Tawau, Sabah pada 2020 manakala sebuah helikopter Ecureuil terhempas ketika misi banjir pada 2014 di Tanah Merah, Kelantan
Nahas juga menimpa PUTD apabila sebuah helikopter Agusta A109 LUH terhempas semasa latihan di sebuah kawasan hutan berhampiran Empangan Bekok, Segamat, Johor pada Disember 2014.
Kehilangan pesawat-pesawat ini menyebabkan fleet helikopter ATM dan agensi keselamatan lain menguncup sedangkan helikopter merupakan aset yang sangat diperlukan.
Kecuali APMM, agensi ini bakal menerima helikopter baharu apabila Kementerian Dalam Negeri (KDN) membeli empat helikopter AW189 bernilai RM600 juta pada Mei 2023 yang dijangka diterima tahun hadapan.
Mekanisme pengganti
Menggantikan sesebuah pesawat yang musnah akibat nahas udara bukanlah satu proses yang memakan masa sebulan dua, tidak juga setahun.
Ini kerana kaedah perolehan kerajaan memerlukan banyak proses dilakukan seperti permohonan bajet, semakan keperluan dan sebagainya sebelum tawaran tender pembelian dibuat.
Proses tender juga akan memakan masa panjang sebelum keputusan dibuat.
Sehubungan itu, perlu ada satu mekanisme daripada kerajaan supaya apabila berlaku situasi tidak diingini, pasukan keselamatan mempunyai jalan tengah untuk mendapatkan aset pengganti dalam waktu segera.
Dengan adanya aset pengganti ini ia tidak merencatkan operasi dan perkhidmatan dapat diteruskan.
Kita percaya mekanisme pengganti ini telah lama difikir dan diperbincangkan pada peringkat tertinggi, malah menjadi kelaziman pasti ada pihak yang bersetuju dan menolak idea sedemikian.
Pendekatan Government Operate, Company Owned and Maintain (GOCOM) merupakan pilihan yang baik, malah bukan baharu termasuklah pada angkatan tentera luar negara.
Kerajaan melalui Unit Kerjasama Awam Swasta, Jabatan Perdana Menteri (UKAS, JPM) telah membuat perolehan secara pajakan 28 buah helikopter menggunakan kaedah ‘Lease-to-Own’ dengan nilai kontrak RM16.5 bilion untuk tempoh 15 tahun.
Pada akhir kontrak sewaan ini, opsyen kerajaan untuk membeli kesemua 28 unit aset tersebut pada harga nominal RM1, berbanding nilai anggaran aset antara RM30 juta hingga RM50 juta sebuah.
Jaminan ketersediaan dan insurans
Menerusi kaedah sewaan ini kesemua 28 buah helikopter yang dibekalkan adalah pesawat baharu.
Pesawat-pesawat dengan spesifikasi penuh seperti ditetapkan dalam kontrak akan diserahkan kepada kerajaan serta agensi-agensi berkaitan dalam tempoh tiga tahun dari tarikh perjanjian dimeterai.
Kerajaan tidak perlu membuat sebarang pembayaran kepada syarikat sehingga helikopter diserahkan sepanjang tempoh penghantaran.
Ketersediaan dan kesiapsiagaan helikopter dijamin pada tahap 85 peratus memastikan aset sentiasa sedia digunakan pada bila-bila masa.
Selain itu, jaminan jam penerbangan bagi 28 buah helikopter selama 15 tahun turut diberikan sekali gus memenuhi sepenuhnya keperluan operasi yang telah ditetapkan.
Pengurusan pesawat juga bakal memberi penjimatan sebanyak 1/3 dalam kos penyelenggaraan dan perolehan kepada kerajaan, ini memastikan perbelanjaan yang lebih cekap dan efektif.
Segala kos latihan termasuk kos awal dan kos berkaitan akan ditanggung sepenuhnya oleh pihak syarikat.
Perkara paling kritikal dalam kaedah ‘lease to own’ ini ialah kesemua helikopter diinsuranskan berdasarkan ‘replacement value’, yang memastikan pesawat akan diganti 1:1 sekiranya berlaku sebarang insiden atau kemalangan.
Polisi ini memberikan perlindungan menyeluruh terhadap kerosakan, kehilangan, atau situasi yang memerlukan penggantian pesawat.
Selain pesawat, setiap juruterbang dan penumpang juga dilindungi oleh polisi insurans khusus bagi setiap penerbangan.
Pelengkap kepada perjanjian ini juga ialah pembinaan pusat hab penerbangan yang akan dibina di Lapangan Terbang Batu Berendam, Melaka.
Ia merangkumi kemudahan MRO, pusat latihan untuk meningkatkan keupayaan tenaga kerja, serta pusat penyelesaian untuk pemasangan dan integrasi akhir helikopter.
Pembinaan ini akan membuka peluang pekerjaan baru dan meningkatkan bilangan tenaga kerja mahir tempatan.
#AirTimes #kolumnis #HelikopterSewa