Home Pertahanan dan Keselamatan Zon Maritim Malaysia benteng penting untuk bendung pencerobohan PATI

Zon Maritim Malaysia benteng penting untuk bendung pencerobohan PATI

by Aqilah Azman

Isu Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) atau lebih digelar kepada ‘pendatang haram’ bukanlah suatu isu yang baharu dan asing dalam negara. Perkara yang masih membelenggu dan mengancam keamanan negara ini seolah belum menemui penghujung bilamana kehadiran warga asing (PATI) kian bermaharajalela dalam negara ini.

Lambakan PATI yang terdiri dari warga Indonesia, Bangladesh, India dan Pakistan serta Myanmar sedikit sebanyak telah menggugat kesejahteraan dan keselamatan negara yang seharusnya berada dalam keadaan terkawal tanpa gangguan luar yang tidak sah.

Kes kian berleluasa ini telah menimbulkan keresahan rakyat, khususnya apabila sektor pekerjaan tertentu lebih memberi peluang kepada PATI berbanding rakyat tempatan.

Selain mendominasi bidang berkenaan, PATI yang giat menjalankan aktiviti jenayah seperti penyeludupan selain pemerdagangan manusia telah menjadi isu utama dan permasalahan serius yang perlu dititikberatkan. Hal ini, sikap ‘besar kepala’ menjurus kepada kebebasan mereka dalam aktiviti sindiket dengan membawa keluar barang-barang secara haram, tanpa pengizinan serta dokumen lengkap yang sah.

Walau bagaimanapun, isu membarah yang kian menjadi perdebatan ini, Kerajaan dan pihak berkuasa tidak akan sesekali memandang enteng untuk membanteraskannya melalui tindakan undang-undang. Namun, adakala ‘dalang’ juga menjadi punca yang membuka laluan untuk membenarkan kemasukan mereka saban tahun di negara ini.

Menurut kenyataan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), menegaskan tidak sesekali akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba untuk menceroboh mahupun orang yang membawa masuk PATI atau mana-mana kumpulan yang melalui perairan negara secara tidak sah.

Dengan itu, pihak APMM tetap mengambil langkah dari semasa ke semasa bagi membendung isu ini dengan memperkasa kerjasama dengan pihak dan agensi-agensi keselamatan yang lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) termasuk pihak berkuasa tempatan dan negara jiran.

Di samping, penggunaan teknologi canggih Artificial Intelligence (AI) dalam pengoperasian antara inisiatif baharu bagi memperkukuhkan keselamatan perairan negara daripada sebarang ancaman dan sebagai pemangkin kepada reformasi operasi oleh pihak Maritim.

Baru-baru ini, kehadiran seramai 436 warga Myanmar telah dikesan cuba untuk menceroboh dan menuju ke kawasan perairan Langkawi. Namun, dua bot yang membawa pendatang asing dari Sittwe, Myanmar itu berjaya diusir oleh APMM (Maritim Malaysia) di Pantai Teluk Yu, Langkawi pada Jumaat lalu.

Menerusi usaha Operasi GUARD dengan menjalankan rondaan dalam mengesan saki baki PATI Myanmar, turut bekerjasama rapat dengan pihak penguat kuasa Thailand dalam mendapatkan maklumat tambahan berkenaan pergerakan bot tersebut. Tangkapan tersebut bagaimanapun telah dirujuk kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Langkawi dan dibawa ke Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) Langkawi untuk proses dokumentasi.

“Maritim Malaysia telah menggerakkan bot dan kapal ke lokasi pendaratan, membuat rondaan di sekitar perairan utara Langkawi serta di kawasan sempadan negara dan mengaturgerak pesawat udara bagi melaksanakan pemantauan udara serta meningkatkan lagi pemantauan radar Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) bagi mengesan PATI berkenaan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Tentera Darat Malaysia (TDM) turut tidak terkecuali dalam penglibatan operasi serbuan PATI yang merentasi sempadan baru-baru ini untuk mengatasi daripada berlarutannya isu ke peringkat yang lebih merbahaya dan mendatangkan padah.

Dengan itu, menerusi peningkatan kawalan dan rondaan, khususnya di kawasan sempadan perairan negara ini, secara tidak langsung dapat menyumbang kepada usaha dengan lebih efisien dalam mengurangkan pencerobohan ke Zon Maritim Malaysia. Selain sebagai benteng tanda amaran, langkah proaktif oleh pihak keselamatan ini dapat menumpaskan PATI mahupun pihak yang terlibat dalam kegiatan sindiket dan penyeludupan di negara ini. -airtimes.my

#AirTimes #PATI #APMM #Pertahanan #Sindiket #Penyeludupan #Malaysia

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!