KUALA LUMPUR, 8 JAN – Setelah lebih sedekad tanpa penyelesaian, isu pelarasan pencen bagi pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bersara sebelum tahun 2013 menunggu titik noktah.
Menurut ahli Persatuan Pegawai-Pegawai Bersara Angkatan Tentera (RAFOC), Kolonel Azam Ariffin (B), ada pandangan dari kumpulan veteren bahawa pelarasan pencen ini memerlukan penyelesaian melalui jalur undang-undang, bukan sekadar rundingan biasa.
“Kita perlu menerima realiti bahawa terdapat perbezaan antara fahaman pelaksanaan dengan akta serta peraturan sedia ada. Oleh itu, ada berpendapat kita tidak boleh menyelesaikannya melalui rundingan biasa. Tiada cara lain melainkan membenarkan mahkamah membuat keputusan akhir,” katanya.
Ujarnya, keputusan Mahkamah Rayuan yang dijadualkan pada 21 Januari ini berpotensi memberikan impak besar, bukan sahaja kepada pesara ATM, namun juga mungkin terhadap dasar tertentu kewangan negara.

Ahli Persatuan Pegawai-Pegawai Bersara Angkatan Tentera (RAFOC) semasa RAFOC Coffee Talk di Wisma Pewira ATM (Foto: Aqilah)
Tekanan inflasi: Kerajaan perlu segera selesaikan
Sementara itu, menerusi perbincangan di RAFOC Coffee Talk pada Rabu, beliau turut menekankan kesan inflasi yang semakin menekan golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
“Inflasi hari ini sangat terasa. Harga makanan, barangan harian, kebanyakan meningkat, tetapi kualitinya diperhatikan menurun. Perniagaan hari ini cuba memotong kos sehingga mengorbankan mutu.
“Kita faham mereka juga perlu keuntungan. Akhirnya, nilai makanan tidak setimpal dengan harga yang dibayar,” jelasnya kepada AirTimes.
Tegasnya, kerajaan melalui kementerian dan agensi berkaitan perlu “walk the ground” dan benar-benar mendengar denyut nadi rakyat.
“Kalau mekanisme itu tidak berkesan, usaha untuk mengekang inflasi akan gagal. Apa yang kita perlukan adalah peningkatan produktiviti. Tetapi jika diperhatikan, tidak nampak dengan ketara usaha ke arah itu. Saya terkejut kerana usaha seperti ini tidak diutamakan,” tambah beliau.

Kolonel Azam Ariffin (kiri) dan Leftenan Jeneral Dato Nawi Alias (kanan) semasa perbincangan RAFOC Coffee Talk pada Rabu (Foto: Aqilah)
Dalam pada itu, mengulas dakwaan segelintir yang mengecilkan usaha pelarasan pencen veteren, Azam berkata, generasi muda mungkin gagal memahami keperluan mendesak ini kerana mereka belum bersara dan punya daya upaya untuk menjana pendapatan mencukupi.
“Generasi muda kurang merasainya, itu antara punca mereka kurang faham kenapa kita kena perjuangkan pelarasan pencen. Contohnya jika pencen saya pada 2013 mungkin besar nilainya, namun kini selepas 10 tahun sudah banyak susut kerana inflasi.
“Jika pun pencen naik 2% setahun tetapi inflasi naik 10%, pesara masih menanggung defisit 8%,”luah Azam.
Ini bermakna pesara terpaksa ‘korek’ wang dari simpanan sendiri. Itulah realiti yang dihadapi oleh ramai pesara hari ini.
Untuk rekod, pada 5 Februari lalu, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa pesara ATM yang bersara sebelum 1 Januari 2013 berhak menerima pelarasan pencen mengikut kadar dan cara sama dengan pesara selepas tarikh tersebut.
Bagaimanapun, keputusan ini telah dirayu dan kini menanti penghakiman Mahkamah Rayuan pada 21 Januari.-airtimes.my
#Veteren #ATM #RAFOC #AirTimes #PelarasanPencen