KUALA LUMPUR, 8 Jan – Kementerian Luar Negeri (KLN) dan Kementerian Pertahanan (MINDEF) sedang berbincang dengan kerajaan Mesir untuk menyelaras penghantaran pulang warga Palestin yang menerima rawatan di Malaysia.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, kerajaan juga akan meneruskan perkhidmatan perubatan kepada warga Palestin yang memerlukan, sejajar dengan komitmen terhadap kebajikan mereka.
“Koordinasi sedang dilakukan Kementerian Luar dan Kementerian Pertahanan untuk berhubung dengan kerajaan Mesir, untuk mengusahakan penghantaran pulang warga Palestin,
“Perbincangan diteruskan, sama ada mereka akan dihantar pulang melalui Mesir atau melalui negara lain, ini akan dimaklumkan kemudian,” katanya dalam sidang media mingguan kementerian, pada Rabu.
Dalam mesyuarat Jemaah Menteri, Fahmi turut memaklumkan mengenai insiden kekecohan yang melibatkan warga Palestin di Wisma Transit Kuala Lumpur (WTKL) pada 4 Januari lalu.
Pada 5 Januari, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah mengesahkan insiden kekecohan melibatkan warga Palestin yang berlaku di WTKL pada 4 Januari seperti yang tular di media sosial.
Insiden kekecohan itu adalah kali kedua berlaku selepas kejadian sama berlaku pada Oktober tahun lepas, disebabkan segelintir daripada mereka tidak berpuas hati kerana diletakkan di pusat perlindungan berkenaan, selain mengehadkan pergerakan mereka.
Pada 16 Ogos lalu, seramai 127 rakyat Palestin termasuk kanan-kanak serta bayi tiba di Malaysia untuk mendapatkan bantuan perubatan akibat konflik yang melanda.
Daripada jumlah itu, 40 daripadanya adalah pesakit akibat peperangan di Gaza yang datang untuk menerima rawatan di negara ini.-airtimes.my
#palestin #malaysia #rawatan #kecoh #hantarpulang #airtimes #ATM