KUALA LUMPUR, 5 JAN – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengesahkan berlaku kekecohan membabitkan warga Palestin di Wisma Transit Kuala Lumpur (WTKL), pada Sabtu.
ATM dalam kenyataan memaklumkan, insiden pada jam 5 petang itu berpunca daripada keinginan warga Palestin terbabit yang mahu proses permohonan kembali ke tanah air mereka dipercepatkan.
Menurut kenyataan itu, pegawai dan anggota ATM dapat mengawal situasi tanpa membabitkan pergaduhan atau kecederaan menerusi perbincangan diadakan dengan kumpulan terbabit.
“Situasi berkenaan dapat dikawal dengan baik tanpa melibatkan sebarang pergaduhan dan kecederaan, hanya berlaku sedikit kerosakan terhadap peralatan perabot di WTKL,
“Warga Palestin telah bersurai kira-kira 7.30 petang,” jelas Markas ATM lagi.
Tegas Markas ATM, orang ramai diminta untuk tidak membuat sebarang spekulasi berkenaan insiden tersebut.
Terdahulu, tular di media sosial memaparkan, sekumpulan warga Palestin berkenaan membuat kerosakan peralatan, termasuk membakar cadar bagi meluahkan rasa tidak puas hati.
Ada beberapa penghuni turut berkumpul di lobi WTKL sambil memegang kertas bertulis ‘mogok lapar’.
Oktober lalu, kekecohan turut tercetus di lokasi sama membabitkan warga Palestin yang didakwa kurang berpuas hati kerana tidak dibenarkan keluar untuk menginap di luar premis berkenaan atas faktor keselamatan.
Pada 16 Ogos lalu, seramai 127 rakyat Palestin termasuk kanan-kanak serta bayi tiba di Malaysia untuk mendapatkan bantuan perubatan akibat konflik yang melanda.
Daripada jumlah itu, 40 daripadanya adalah pesakit akibat peperangan di Gaza yang datang untuk menerima rawatan di negara ini.
Melalui misi ini, ATM telah mengaturgerakkan 2 buah pesawat A400M bagi membawa pulang rakyat Palestin yang cedera dari Kaherah, Mesir ke Malaysia.-airtimes.my
#Palestin #Malaysia #WTKL #kecoh #mahupulang #ATM #airtimes