KUALA LUMPUR, 5 Jan – Pertubuhan Kebajikan Skuad 1/86 (PKS 1/86) telah menganjurkan Majlis Reunion ke-4 yang diadakan sempena sambutan ulang tahun ke-39 penubuhan Skuad 1/86 Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur.
Majlis penuh bermakna ini telah berlangsung dengan diserikan dengan kehadiran Komander Briged Utara, Senior Asisten Komisioner Shahrum Hashim, yang sudi merasmikan majlis tersebut.
Dalam ucapan perasmiannya, Shahrum menyatakan kekagumannya terhadap PKS 1/86 sebagai sebuah pertubuhan pesara polis yang berdaftar dan memberi fokus utama kepada kebajikan ahli-ahlinya.
Beliau menzahirkan harapan agar PKS 1/86 dapat menjadi contoh kepada persatuan-persatuan pesara polis yang lain, terutamanya dalam usaha memperkukuh ukhwah serta menyumbang kepada masyarakat.
Sementara itu, Pengerusi PKS 1/86, Datuk Seri Halim Ishak, dalam ucapannya pula menyeru semua ahli PKS 1/86 untuk terus menaburkan khidmat bakti kepada masyarakat.
Beliau menekankan kepentingan ahli-ahli untuk melibatkan diri secara aktif dalam pertubuhan yang sah, agar semangat perkhidmatan yang tertanam semasa dalam pasukan polis dapat terus disalurkan kepada komuniti.
Dalam usaha untuk memastikan kesinambungan aktiviti-aktiviti yang bermanfaat, beliau turut mencadangkan agar Reunion PKS 1/86 yang akan datang diadakan di Briged Tenggara sebagai simbolik kepada keunikan dan kepelbagaian lokasi untuk memperkukuh hubungan antara ahli-ahli.
Majlis yang berlangsung ini bukan sahaja menjadi platform untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara ahli-ahli, tetapi juga sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan sumbangan mereka kepada negara selama ini.
Pertubuhan Kebajikan Skuad 1/86 akan terus komited dalam menjalankan aktiviti-aktiviti kebajikan dan memperkasakan peranan sebagai sebuah organisasi yang membawa manfaat kepada masyarakat dan negara.-airtimes.my
#semasa #PDRM #PGA #reunion #PKS #airtimes