IPOH, 3 JAN- Senoi Praaq, satu nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi.
Ketangkasan, keberanian dan kemahiran mereka dalam menjejaki musuh menjadikan pasukan ini diakui sebagai antara entiti unggul dalam Pasukan Gerakan Am (PGA).
Senoi Praaq atau bermaksud ‘orang perang’ dalam bahasa suku kaum Semai ditubuhkan pada tahun 1956 oleh Richard Noone, Ketua Jabatan Orang Asli Malaya.
Sepanjang tempoh tersebut muncul nama-nama wira Senoi Praaq seperti Cif Inspektor Long Pandak, Koperal Ada Kulim dan Sarjan Mejar Apot Saad iaitu penjejak lagenda Senoi Praaq sebelum menyertai 69 Komando.
Begitu juga mendiang Sarjan Baharuddin Ramli dan Sarjan Norihan Tari. Nama-nama ini merupakan penerima darjah keberanian PGB.
Ketika ini, terdapat dua batalion Senoi Praaq iaitu Batalion 18 PGA di Pengkalan Hulu dan Batalion 3 PGA di Bidor, kedua-duanya di Perak.
Legasi Senoi Praaq ini tidak padam, malah perjuangan tersebut diteruskan oleh generasi baharu.
Terkini, seramai 122 anak-anak muda Orang Asli menjadi pewaris baharu apabila menamatkan Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK) Konstabel Orang Asli siri 1/2024.
Mereka ini terdiri daripada pelbagai suku seluruh Malaysia telah berjaya mengharungi latihan asas kepolisan selama tiga bulan dan asas PGA selama 3 bulan di Pusat Latihan PGA Ulu Kinta.
Kesemua pelatih memulakan latihan pada 30 Jun lalu selepas melalui proses tapisan yang ketat.
Latihan asas kepolisan mendedahkan pelatih kepada tugasan am polis manakala latihan asas PGA khusus kepada kemahiran serta ilmu peperangan di hutan.
Sepertimana latihan asas PGA yang diikuti pelatih lain, pelatih-pelatih Senoi Praaq didedahkan dengan modul serupa agar benar-benar dapat melaksanakan tanggungjawab di medan.
Ini kerana Pusat Latihan PGA Ulu Kinta merupakan pusat latihan peperangan melawan insurgensi antara yang terbaik dan paling berpengalaman di tanahair.
Usianya juga seiring dengan kewujudan PGA sejak era Darurat semasa dikenali sebagai Jungle Company.
Terdahulu, majlis penutupan latihan telah disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (PGA), DCP Dato’ Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi.

Seramai lima pelatih telah menerima anugerah atas kecemerlangan sepanjang Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK) Konstabel Orang Asli siri 1/2024.
Seramai lima pelatih menerima anugerah atas kecemerlangan sepanjang latihan didahului Konstabel (Konst) Exduience Hamdan sebagai pelatih terbaik keseluruhan.
Empat yang lain ialah Konst Ablen Ibram Abdullah (fizikal terbaik), Konst Rizman Ramesh (kawad), Konst Sizanawan Sakarian (menembak) dan Konst Ruhinasrin Hashim (akademik).
Sebagai simbolik, kesemua pelatih terbaik ini juga diberi penghormatan apabila disarungkan beret merun Senoi Praaq masing-masing oleh Mohamad Suzrin dan pegawai-pegawai kepimpinan kanan PGA yang hadir.
Anggota konstabel Senoi Praaq ini kemudiannya dihantar ke batalion masing-masing iaitu 46 orang di Batalion 3 PGA manakala selebihnya ke Batalion 18 PGA.-airtimes.my
#PGA #PDRM #airtimes #SenoiPraaq #keselamatan