Home SemasaGlobal Tentera Pakistan-Afghanistan bertempur di sempadan, lebih 15 Taliban terbunuh

Tentera Pakistan-Afghanistan bertempur di sempadan, lebih 15 Taliban terbunuh

by Zulhaizi Rosdi

ISLAMABAD, 30 DIS – Lebih 15 tentera Afghanistan dilaporkan terbunuh susulan kejadian berbalas tembakan rentas sempadan dengan pasukan Pakistan, kata Angkatan Bersenjata Pakistan pada Sabtu.

Kejadian berbalas tembakan sejak 27 Disember lalu di sempadan antara dua negara itu turut menyebabkan seorang tentera paramiliter Pakistan maut manakala tujuh lagi cedera dalam pertempuran berkenaan.

Pegawai di kedua-dua negara berkata, pertempuran antara pasukan sempadan turut menggunakan senjata berat berhampiran sempadan wilayah Khyber Pakhtunkhwa, Pakistan dan Khost, Afghanistan.

Kementerian Pertahanan Afghanistan berkata, lokasi yang diserang di sempadan itu adalah sebagai tindak balas terhadap Pakistan yang didakwa melakukan serangan udara di wilayah Paktika, Afghanistan.

Menurut Taliban, serangan oleh Pakistan itu menyasarkan kem pelarian di daerah Barmal yang membunuh seramai 46 orang termasuk wanita dan kanak-kanak.

Jurucakap Taliban turut menegaskan bahawa mereka telah menyasarkan “unsur jahat” di seluruh sempadan di Pakistan, tetapi tidak menyatakan sama ada tindakan mereka ditujukan kepada pasukan keselamatan Pakistan atau tidak.

Serangan itu adalah siri lonjakan terbaru permusuhan di sempadan Afghanistan-Pakistan, dengan ketegangan perbatasan kedua-dua negara meningkat sejak Taliban merampas kuasa pada 2021.

Dalam perkembangan sama, Pakistan menuduh Taliban melindungi militan dari Tehreek-e-Taliban Pakistan (TTP), sebuah kumpulan yang bertanggungjawab terhadap gelombang serangan maut ke atas pasukan keselamatan Pakistan.

Militan TTP yang berkongsi hubungan ideologi dengan Taliban Afghanistan, telah mempergiatkan operasinya sejak Taliban kembali berkuasa di Afghanistan pada 2021.

Islamabad mendakwa pihak berkuasa Kabul melindungi pejuang militan, membenarkan mereka melakukan serangan di tanah Pakistan tanpa dikenakan tindakan, namun ia dinafikan kerajaan Taliban.

Selain itu, tentera Pakistan mengulangi pendiriannya dalam akaun rasmi X bahawa ia telah berjaya menggagalkan percubaan penyusupan daripada militan yang didakwa mempunyai kaitan dengan Taliban.

Taliban bagaimanapun, menolak dakwaan ini dan menuduh Pakistan melanggar kedaulatan Afghanistan melalui serangan udara rentas sempadan. -airtimes.my

#Pakistan #TenteraPakistan #TenteraAfghanistan #Afghanistan #konflik #sempadan #serangan #Airtimes

Related Articles

Leave a Reply

error: Aha??? Nak buat apa tu?