ISTANBUL, 28 DIS – Rusia pada Khamis menolak dakwaan bahawa sistem pertahanan udaranya menjadi punca kepada terhempasnya pesawat penumpang Azerbaijan Airlines berhampiran bandar Aktau, Kazakhstan sehingga mengorbankan 38 nyawa.
Agensi Anadolu melaporkan bahawa Jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov berkata, adalah tidak wajar membuat andaian dan dakwaan sebegitu sebelum hasil siasatan dikeluarkan.
Selepas insiden itu, Azerbaijan dan Kazakhstan telah memulakan siasatan berhubung nahas pesawat terhempas itu.
Khamis lalu, pegawai kanan Azerbaijan mengesahkan kepada Anadolu bahawa nahas itu berpunca daripada sistem peluru berpandu Rusia.
Namun, pihak berkuasa penerbangan awam Rusia, Rosaviatsia menegaskan bahawa nahas mungkin disebabkan daripada perlanggaran burung.
Dalam perkembangan sama, pihak berkuasa Kazakhstan dan Presiden Azerbaijan Ilham Aliyev menyeru agar orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi, sambil menyatakan cuaca buruk mungkin menyebabkan pesawat itu terpaksa mengubah haluan.
Terdahulu, pesawat yang membawa 67 penumpang dan anak kapal itu dilaporkan dalam perjalanan dari Baku ke Grozny, apabila ia terhempas 3 kilometer dari Aktau di pantai Laut Caspian.
Dalam kejadian itu, seramai 29 mangsa terselamat termasuk dua kanak-kanak.
Pesawat itu dilaporkan tersasar dari laluan di Laut Caspian sebelum ia terhempas. -airtimes.my
#AzerbaijanAirlines #Rusia #terhempas #Azerbaijan #Kazakhstan #Airtimes