Home Sejarah Kolumnis: Mengenang kembali peristiwa berdarah Tragedi Bekor 1946

Kolumnis: Mengenang kembali peristiwa berdarah Tragedi Bekor 1946

by Zaki Salleh

Nama Kampung Bekor pastinya kedengaran janggal pada kebanyakan daripada kita, lalu timbul soalan apa kaitannya dengan sejarah?

Kampung Bekor di Manong adalah sebuah penempatan Melayu di tepi Sungai Perak dalam jajahan Kuala Kangsar.

Perkampungan kecil ini menyimpan sejarah besar Tanah Melayu iaitu semasa tempoh peralihan selepas Perang Dunia Kedua, tragedi serangan gerombolan bersenjata ke atas penduduknya.

Dikenali sebagai Tragedi Bekor, ia adalah peristiwa hitam di dalam episod sejarah negara yang mungkin masih ramai tidak tahu dan jarang diceritakan.

Tragedi Bekor kali pertama dipaparkan dalam media massa selepas 55 tahun adalah di dalam Majalah Perajurit keluaran Mac 2001 bertajuk ‘Tragedi Bekor 6 Mac 1946’ tulisan pengarangnya yang juga penganalisis pertahanan, Muhammad Fuad Mat Noor.

Muhammad Fuad yang juga anak kelahiran Kampung Jamuan, Kuala Kangsar turut meninjau lokasi berlaku pertempuran dan laluan-laluan yang digunakan semasa itu.

Diceritakan pada hari kejadian, tepat jam 5.30 pagi gerombolan berseragam dipercayai MPAJA, orang-orang Cina dan juga beberapa orang Melayu dianggarkan 1,000 orang mara ke Bekor dari kawasan-kawasan bukit tempat mereka bermalam sebelumnya.

Cerita Muhammad Fuad, semasa serangan pihak penyerang telah memasang jerangkap samar di jambatan yang menghubungkan Bekor dan Mandah bagi menghalang bantuan orang-orang Melayu tiba dari Mandah.

Kampung Bekor di Manong adalah sebuah penempatan Melayu di tepi Sungai Perak dalam jajahan Kuala Kangsar.

Pasukan penyerang telah dibahagi kepada  kumpulan iaitu membakar rumah-rumah dan membunuh mereka apabila penghuninya keluar.

Tiada senjata api digunakan, kesemua mereka bersenjatakan tombak, pedang atau parang mungkin kerana hendak mengelakkan bunyi letupan senjata yang boleh didengar jelas pada waktu subuh.

Terdapat kumpulan penduduk yang melawan dan memberikan tentangan kepada pasukan penyerang dengan bersenjatakan parang dan lembing.

Lebih 100 penduduk kampung terbunuh dalam serangan ini, manakala jumlah kenderaan pada kumpulan penyerang tidak dapat dipastikan tetapi berdasarkan kesan-kesan darah diyakini ramai yang tercedera.

Menurut Muhammad Fuad, mengimbau kembali penulisan artikelnya, beliau memberitahu telah menemubual dua penduduk yang menjadi saksi serangan yang ketika itu berusia belasan tahun.

“Soal siapa yang menyerang juga timbul persoalan kerana keadaan semasa selepas Perang Dunia Kedua yang masih bergolak.

“Kemungkinan juga pihak Kuomintang sepertimana yang diketahui bermusuhan dengan MPAJA. Penglibatan orang setempat turut tidak boleh dinafikan,” ujarnya.

Katanya, Tragedi Bekor menyimpan banyak persoalan yang masih belum terjawab selain tiada kajian secara terperinci dilakukan berhubung peristiwa itu.

Sastera turun ke Bekor

Pada Ahad lepas, 15 Disember 2024 telah diadakan program ‘Bertandang Sejenak Ke Bekor’ bagi pelancaran buku-buku Bekor, deklamasi puisi Bekor, pengisahan Perang Bekor, bicara novel Ketika Itu Di Bekor dan sketsa pahlawan perang Bekor.

Program yang diadakan di Dewan Komuniti Kubang Udang, Kampung Bekor, Manong itu anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak, Persatuan Karyawan Perak dan Karya Cipta.

Novel sejarah Ketika Itu di Bekor karya M. Zaki Arif terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada tahun 2024, mengisahkan peristiwa sejarah yang berlaku di Kampung Bekor.

Novel sejarah Ketika Itu di Bekor karya M. Zaki Arif terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada tahun 2024, mengisahkan peristiwa sejarah yang berlaku di Kampung Bekor.

Novel setebal 208 halaman ini  merupakan novel sejarah yang berjaya merangkul Hadiah Sagu Hati dalam Sayembara Penulisan Novel Sejarah untuk Remaja DBP-PSM 2022/2023.

Bicara Novel Ketika Itu di Bekor merupakan satu daripada tujuh sesi program Sejenak Bertandang di Bekor.

Program bicara diadakan selepas pelancarannya bersama-sama buku Bekor Sejarah dan Harapan (Penerbit Kayacipta, 2024) tulisan Zabidin Haji Ismail dan antologi kompilasi Bekor di Sebalik Cerita Duka selenggaraan M. Zaki Arif.

Program ini turut merapatkan minat masyarakat terhadap aktiviti membaca buku khususnya yang berkonsepkan sastera dan sejarah.-airtimes.my

#airtimes #semasa #KampungBekor #Perak #Malaysia

Related Articles

Leave a Reply

error: Aha??? Nak buat apa tu?