KUALA LUMPUR, 22 Dis – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) komited untuk melaksanakan pelbagai strategi bagi menangani isu kekurangan kakitangan dan bebanan tugas yang semakin meruncing di kalangan petugas kesihatan awam.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, inisiatif ‘Rakan KKM Partnership’ dijangka membawa perubahan ketara melalui peningkatan ganjaran dan naik taraf fasiliti kesihatan.
“Prospek ganjaran lebih baik dan fasiliti kesihatan dinaik taraf yang bakal dicapai melalui subsidi silang oleh pendapatan baharu daripada ‘perkhidmatan ekonomi premium ‘#RakanKKM’ diharapkan dapat meningkatkan insentif untuk mereka kekal dalam sektor awam,
“Selain itu, langkah jangka pendek termasuk kenaikan dan pelarasan gaji, jadual kerja lebih anjal, dan membenarkan amalan lokum,
“KKM terus komited untuk meningkatkan keseimbangan antara pekerjaan dan kehidupan, serta kebajikan profesional perubatan seluruhnya,” katanya dalam catatan di laman Facebooknya.
hantaran itu dibuat sebagai membalas pertanyaan pakar perunding nefrologi Dr Rafidah Abdullah yang ingin tahu perancangan dan strategi KKM dalam mengatasi situasi isu peletakan jawatan oleh para doktor.
Dr Dzulkefly turut menegaskan, pihaknya tidak memandang enteng lebih 6,000 doktor yang meletak jawatan sepanjang 5 tahun lepas.
Menurutnya, jumlah tersebut termasuk 3,200 pegawai perubatan (MO) kontrak yang meletak jawatan untuk beralih ke jawatan tetap, selain sesetengah doktor beralih ke bidang akademik namun masih menyumbang kepada pengukuhan sektor kesihatan awam.
“Saya akui dan sedari sepenuhnya bahawa KKM kekurangan kakitangan. Manakala dalam itu, sesetengah warga KKM juga terpaksa menanggung bebanan tugas lebih daripada rakan lain. Saya pastinya tidak akan menafikan situasi ini,
“Namun, walau dengan segala kekangan yang wujud hari ini, saya akan pastikan bahawa semua isu dihadapi oleh warga KKM di lapangan akan ditangani dalam penggal kedua saya sebagai Menteri Kesihatan,” ujarnya lagi.
Tergasnya, ketirisan bakat kekal menjadi cabaran signifikan dalam semua industri, termasuk sektor kesihatan dan KKM tidak dapat menghalang MO dan pakar perubatan daripada berhijrah ke sektor swasta, walaupun telah melaksanakan beberapa strategi untuk mengekalkan mereka dalam sektor awam.
Sementara itu, mengulas mengenai situasi berlakunya bebanan tugas di Hospital Seri Manjung pada 12 Disember lalu, Dr Dzulkefly berkata, pihaknya melalui kerjasama Bahagian Sumber Manusia (BSM) akan mengagihkan lebih banyak pegawai perubatan ke jabatan yang kritikal.
Jelasnya, ia adalah tugas yang mencabar namun perlu dibuat agar tahap tenaga kerja dapat menampung keperluan semasa.
“Cabaran ini juga bukan terhad kepada Hospital Seri Manjung sahaja, namun dihadapi di seluruh negara.
“Oleh itu, KKM akan berusaha sedaya-upaya untuk menangani keperluan mendesak itu. Namun, terdapat beberapa aspek sememangnya berada di luar bidang kuasa KKM,” ujarnya lagi. -airtimes.my
#airtimes #semasa #KKM #doktor #swasta #kerajaan #Malaysia