PORT DICKSON, 12 Dis – Pasukan Malaysian Batalion (MALBATT) 850-12 akan terus meningkatkan kesiapsiaagaan dan kewaspadaan bagi menghadapi sebarang kemungkinan sepanjang menjalankan tugasan pengaman di Lubnan.
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman berkata, secara keseluruhannya, kehadiran MALBATT 850-11 telah diterima baik oleh masyarakat tempatan, sekaligus, mencerminkan kejayaan kolaborasi antara pasukan pengaman dan juga komuniti setempat.
Menurutnya, meskipun berdepan cabaran getir akibat ancaman konflik berterusan antara Israel dan Lubnan, MALBATT 850-11 berjaya mempamerkan disiplin serta mutu kerja yang cemerlang.
“Sejak Oktober tahun lalu, ketegangan antara Israel, Hamas dan Hizbullah telah memberi impak kepada operasi di kawasan tanggungjawab Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL),
“Oleh itu, pergerakan pasukan (MALBATT 850-11) terpaksa dihadkan bagi memastikan keselamatan anggota sentiasa terpelihara. Apa yang penting, di kawasan tanggungjawab Malbatt 850-12 masih terkawal dan selamat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Perbarisan Penganugerahan Pingat PNBB dan Pembubaran MALBATT 850-11 di Pusat Asas Tentera Darat (PUSASDA), hari ini.
Kontinjen MALBATT 850-11 diketuai oleh Kolonel Burhan Sagoni, terdiri daripada 853 anggota iaitu 82 pegawai dan 771 anggota. Kontinjen ini turut disertai oleh 3 pegawai dan 26 anggota dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) serta seorang Pegawai Kewangan daripada Kementerian Pertahanan (MINDEF).
Dalam suasana operasi mencabar, Mohammad memuji kontinjen MALBATT 850-11 kerana berjaya mengekalkan reputasi sebagai pasukan pengaman yang dihormati oleh masyarakat setempat dan komuniti antarabangsa.
“Sumbangan dan komitmen mereka bukan sahaja membuktikan kemampuan Malaysia dalam melaksanakan misi keamanan global, malah juga memperkukuhkan kredibiliti negara sebagai penyumbang kepada kestabilan sejagat,”ujarnya lagi.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, beliau turut menyatakan kesediaan MALBATT untuk menjalankan tugas jika diarahkan ke negara bergolak seperti Syria oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Sekiranya ada keperluan (ke Syria) daripada United Nation untuk menyertai misi tersebut kepimpinan negara akan membuat pertimbangan, sekiranya mereka bersetuju, anggota akan dihantar ke sana atau dimana-mana sahaja negara memerlukan,” katanya.-airtimes.my
#airtimes #pertahanan #MALBATT #pembubaran #siapsiaga #Malaysia