PUTRAJAYA, 12 DIS – Secara rasmi Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Laksamana Muda Maritim Datuk Haji Mohd Rosli Abdullah dianugerahkan Laksamana Maritim mula berkuatkuasa hari ini.
Majlis ringkas upacara pemakaian pangkat tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Dalam Negeri, YB Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bertempat di Kementerian Dalam Negeri.
Datuk Haji Mohd Rosli menyatakan, pemakaian pangkat tersebut mencerminkan pengiktirafan tertinggi Kementerian Dalam Negeri (KDN), terhadapnya di sepanjang kerjayanya dalam Perkhidmatan Awam dan selaku Ketua Pengarah Maritim Malaysia.
“Penganugerahan pangkat ini adalah amanah besar yang akan saya pegang dengan penuh tanggungjawab demi kemajuan Maritim Malaysia,” ujarnya dalam upacara pemakaian pangkat.
Justeru, dalam berdepan cabaran yang semakin kompleks di perairan negara, beliau terus berkomitmen untuk menjalankan kerjasama strategik dengan pelbagai pihak bagi meningkatkan keupayaan Maritim Malaysia.
Sehubungan itu, beliau turut menyatakan untuk terus komitmen dalam menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Pengarah agensi dengan membawa reformasi kepada perkhidmatan dan pengoperasian Maritim Malaysia.
“Saya bertekad untuk terus memperkukuhkan keupayaan operasi Maritim Malaysia dan memastikan keselamatan serta kesejahteraan perairan negara, sekaligus membina kepercayaan rakyat terhadap agensi ini,” kata beliau.
Datuk Haji Mohd Rosli merupakan Ketua Pengarah Maritim Malaysia ketujuh selepas dilantik pada 17 September lalu dan beliau sebelum ini merupakan Pemangku Timbalan Ketua Pengarah Operasi Maritim Malaysia.
“Teras Tujuh yang saya perkenalkan selepas dilantik memegang jawatan sebagai Ketua Pengarah Maritim Malaysia diharap akan memperkasakan Maritim Malaysia dan terus cemerlang seiring visi Maritim Malaysia untuk menjadi agensi penguatkuasaan maritim terbaik di dunia menjelang 2040,” nyatanya. -airtimes.my
#AirTimes #MaritimMalaysia #KDN #Malaysia