Home Teknologi Pertahanan Kazakhstan jadi ahli keluarga baharu pengguna A400M

Kazakhstan jadi ahli keluarga baharu pengguna A400M

by M.Daim

ALMATY, 11 DIS – Kazakhstan telah menerima pesawat A400M pertamanya dari Airbus Defence and Space.

Airbus dalam satu kenyataan berkata, pesawat pertama A400M telah diserahkan kepada kerajaan Kazakhstan selepas penerbangan penghantaran dilakukan dari Seville, Sepanyol.

Negara Asia Tengah itu sebelum ini telah membuat keputusan untuk membeli 2 buah A400M pada tahun 2021.

Menurut Jean-Brice Dumont, Ketua Bahagian Kuasa Udara Airbus Defence and Space, pesawat kedua akan diterima oleh Kazakhstan pada tahun 2026.

““Dengan rekod lebih sedekad dalam operasi ketenteraan dan kemanusiaan di seluruh dunia, A400M adalah pemangkin perubahan untuk Pasukan Pertahanan Udara Kazakhstan,

“Ia menawarkan keupayaan taktikal dan strategik yang tiada tandingan dalam satu platform,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menambah, A400M kedua untuk Kazakhstan sedang dihasilkan oleh syarikat Eropah itu.

Airbus menyatakan lebih daripada 130 buah A400M telah dihantar ke 9 negara pelanggan dan mencatatkan rekod 200 ribbu jam penerbangan secara keseluruhan.

A400M merupakan pesawat pengangkut taktikal dan strategik yang berupaya untuk melaksanakan pelbagai misi.

Selain melaksanakan operasi angkut, pesawat yang ditujah dengan 4 enjin turboprop Europrop TP400-D6 ini telah digunakan dalam misi menyelamat dan bantuan bencana.

A400M turut terlibat dalam beberapa misi evakuasi di seluruh dunia termasuk di Afghanistan, Sudan dan Niger.

Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada Ogos lalu telah berjaya melaksanakan misi membawa pulang 127 rakyat Palestin untuk menerima rawatan di negara ini dari Mesir.

A400M turut berupaya untuk memainkan peranan sebagai pesawat pengisian bahan api di udara. Ini dengan melihat pembelian pesawat A400M oleh Indonesia yang merangkumi konfigurasi MRTT (Multi Role Tanker Transport). – airtimes.my

#AirTimes #Airbus #Kazakhstan #A400M

Related Articles

Leave a Reply

error: Aha??? Nak buat apa tu?