Home Pertahanan dan Keselamatan Pembatalan Black Hawk: Syarikat pembekal didenda RM62 ribu sebulan?

Pembatalan Black Hawk: Syarikat pembekal didenda RM62 ribu sebulan?

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 10 DIS – Denda lewat sebanyak RM62,333.35 sebulan telah dikenakan terhadap syarikat pembekal yang gagal memenuhi kontrak sewaan Black Hawk untuk Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD).

Sumber memaklumkan kepada Air Times bahawa denda tersebut dikenakan bermula 1 Mei 2024 sehingga akhir Oktober 2024, tarikh di mana Surat Setuju Terima (SST) kontrak sewaan ini dibatalkan.

“Tindakan tersebut diambil memandangkan syarikat berkenaan telah gagal melunaskan tanggungjawab mereka seperti yang termaktub dalam kontrak serta SST,” kata sumber.

Selain denda, bon pelaksanaan bernilai RM1.87 juta turut dirampas.

Tambahnya, denda dan rampasan bon pelaksanaan itu merupakan tindakan susulan dari pihak Kementerian Pertahanan berikutan kegagalan kontrak sewaan Black Hawk.

Sebelum ini, kontrak Black Hawk dianugerahkan kepada syarikat Aerotree Defence & Services Sdn Bhd melalui tender terbuka pada tahun 2022.

Namun begitu, kelewatan penghantaran 4 buah helikopter telah mendapat perhatian umum.

Pada akhir Oktober lalu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyatakan kontrak sewaan tersebut dibatalkan sekiranya pembekal pada waktu itu gagal memenuhi syarat penghantaran yang ditetapkan.

Pelbagai persoalan telah dibangkitkan di Parlimen berhubung kegagalan kontrak Black Hawk semasa Perbahasan Belanjawan Peringkat Dasar pada 2 Disember lalu.

Bekas Timbalan Menteri Pertahanan, Dato’ Sri Ikmal Hisham Abdul Aziz telah membangkitkan isu tentang pelaksanaan denda dan tindakan susulan terhadap kegagalan kontrak sewaan keempat-empat helikopter ini.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pendang, Datuk Haji Awang Hashim dan Ahli Parlimen Kapar, Dr Hajah Halimah Ali kedua-duanya membangkitkan apakah tindakan susulan serta perancangan dari pihak kerajaan agar kegagalan kontrak sewaan Black Hawk ini tidak akan berulang kembali.

Semasa ucapan penggulungan Perbahasan Belanjawan Peringkat Dasar bagi peringkat Kementerian Pertahanan, Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari menyatakan persoalan mengenai isu denda dan tindakan susulan kontrak Black Hawk tersebut akan dijawab secara bertulis. – airtimes.my

#AirTimes #Pertahanan #BlackHawk

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!