Home Sejarah Kolumnis: Serangan 8 Disember di Kota Bharu terhakis dalam lipatan sejarah

Kolumnis: Serangan 8 Disember di Kota Bharu terhakis dalam lipatan sejarah

by M.Daim

Dentuman pertama pada pukul 1.45 pagi 8 Disember di pantai Kuala Pak Amat dekat Pengkalan Chepa, Kota Bharu 83 tahun lalu menandakan bermulanya Perang Pasifik.

Serangan amfibia tentera Jepun ke atas Tanah Melayu berlaku 40 minit lebih awal daripada serangan udara di Pearl Harbour, Hawaii.

Jepun menyerang Pearl Harbour bagi melumpuhkan armada laut Amerika Syarikat di Pasifik yang boleh menjadi penghalang kepada perluasan kuasa Jepun di wilayah sebelah sini.

Strategi tersebut berjaya apabila dalam tempoh tidak sampai dua bulan tentera Jepun telah menguasai Tanah Melayu setelah tewasnya pertahanan akhir di Singapura.

Imbas kembali, serangan amfibia Jepun pada awal pagi 8 Disember sebenarnya adalah percaturan maut yang dibuat oleh Komander Tentera Darat Jepun ke-25, Jeneral Tomoyuki Yamashita.

Mejar Jeneral Hiroshi Takumi, yang mengetuai bala tentera seramai 5,200 orang (dikenali sebagai Detasmen Takumi), dengan armada tiga kapal pendarat dan tujuh kapal perang, memilih kawasan pantai itu sebagai lokasi pendaratan.

Dalam situasi genting dan kehilangan ratusan tentera semasa cuba merapati pantai, tentera Jepun menyabung nyawa untuk mencapai objektif.

Ini kerana kubu-kubu pertahanan British di sepanjang pantai memberi tekanan kepada pihak Jepun dengan tembakan dan ledakan letupan.

Justeru, dalam peta sejarah Perang Dunia Kedua di Pasifik, Kelantan adalah penting, malah kesan-kesan fizikal pertempuran tersebut iaitu kubu-kubu pertahanan British masih berbaki walaupun banyak yang telah ditelan ombak.

Tugu peringatan pernah dibina di kawasan pantai ini beberapa tahun lalu, namun ia tidak kekal lama apabila turut musnah kemudian.

Memori tentang sejarah perang di Pantai Pak Amat ini terakam pada saya sepertimana diceritakan tiga penduduk lama yang ditemui pada tahun 2006 semasa bertugas di sana.

Saya coretkan semula catatan dengan usia penduduk Kampung Pak Amat dan Kampung Pulau Panjang tersebut semasa ditemui ketika itu.

Omar Senik, 81, ketika perang berusia 14 tahun

“Beberapa bulan sebelum perang meletus, sekitar pantai di situ menjadi kawasan larangan apabila tentera British dah Punjab mula membina kubu-kubu pertahanan konkrit dan kubu guni pasir serta dipasang pagar berduri. Malah, kawalan keselamatan diperketatkan.

“Penduduk kampung yang rata-ratanya nelayan dan petani tidak begitu mengendahkan kehadiran tentera dan perang.

“Saya kerap masuk ke kawasan kubu tentera Punjab sambil tengok mereka berkawal. Pada satu peringkat saya sudah boleh menyanyikan dikir barat dalam bahasa mereka.

“Beberapa jam sebelum serangan meletus, seorang pegawai tentera British memanggil saya ke kubu dan meminta menghiburkan mereka sambil dijamu makanan.

“Saya masih ingat beberapa bot tentera Jepun mendarat di pantai kampung yang terletak hanya 100 meter dari rumah. Tetapi ramai antara mereka mati ditembak mesingan tentera British.

“Tentera Jepun yang mendarat tidak mengapa-apakan penduduk kampung, sebaliknya mengarahkan kami bersembunyi dan memberitahu kedatangan mereka untuk menghalau tentera British.

“Penduduk kampung ketika itu terutama remaja seperti saya tertunggu-tunggu kedatangan tentera Jepun kerana diberitahu negara Asia Timur itu menjanjikan pelbagai kemewahan.

“Kehidupan di bawah penjajahan British yang menghalang pendidikan di kalangan penduduk luar bandar menyebabkan mereka terpinggir dan hanya bersekolah pondok, melainkan golongan bangsawan dan orang berada.

“Saya memang nak bersekolah, tapi orang putih tak benarkan buka sekolah di kampung. Namun, khabar angin beritahu jika Jepun datang mereka nak buka sekolah dan itu menyebabkan saya tidak sabar-sabar.

“Selain itu, ramai yang cerita harga beras akan murah bila Jepun perintah selain harga barang-barang lain seperti kain baju lebih rendah, tapi sebenarnya cuma setahun sahaja kami hidup senang sebelum keadaan berubah”.

Nawi Mohamad, 80, ketika perang berusia 13 tahun

“Pengalaman melihat mayat tentera Jepun dan Punjabi bergelimpangan masih segar dalam ingatan.

“Sejak berkubu di tepi laut, tentera British sering buat latihan, jadi bila dengar letupan malam itu kami penduduk kampung ingat mereka sedang berlatih. Kami tak pernah terfikir pun nak berlaku perang.

“Tapi bila tembakan dan letupan tak henti-henti serta selepas ditinjau di pinggir pantai, barulah kami tahu tentera Jepun sudah mendarat di pantai Kuala Pak Amat.

“Semua penduduk bersembunyi di bawah rumah bimbang kena peluru sesat, tapi Alhamdulilah tiada siapa pun cedera hingga hari siang.

“Dalam kekalutan pertempuran, tiga tentera Jepun yang mendarat mati di bergelimpangan di hadapan rumah saya, dan sehingga hari ini saya masih terbayang wajah mereka.

“Suasana perang memang menakutkan kerana peluru datang macam hujan, kapal terbang British tak henti-henti bom kapal Jepun di laut dan tidak beberapa jam kemudian nampak api menjulang dari pengkalan tentera udara British di Pengkalan Chepa yang terbakar”.

Yaakob Awang Teh, 85, ketika perang berusia 18 tahun.

“Saya masih mengingati dengan jelas suasana kehidupan di kampung semasa pendudukan tentera Jepun.

“Ada yang baik dan ada yang garang, tapi kebanyakan yang datang mendarat di sini merupakan anggota tempur sebelum diambil alih pasukan kejuruteraan dan unit-unit tugas biasa tentera.

“Perang juga memberi rezeki kepada remaja kampung masa itu apabila kami diambil bekerja membaiki pangkalan udara di Pengkalan Chepa, dan kerja saya ialah meratakan landasan kapal terbang menggunakan batu kerikil.

“Pernah sesekali saya disepak tentera Jepun kerana kerja main-main, tapi rata-rata kami yang bekerja sebagai buruh dilayan baik”.

Seperti tahun-tahun lalu, tiada sebarang sambutan dibuat di negara kita bagi memperingati meletusnya Perang Dunia Kedua di Tanah Melayu walaupun sejarah itu sangat besar.

Tidak seperti di Eropah, Kota Bharu atau lebih tepat lagi pantai di Pengkalan Chepa sepatutnya menjadi tapak sejarah yang terkenal.

Hari ini cuaca monsun yang sama membadai pesisir pantai Kelantan pada 8 Disember 1941 masih membawa gelombang ombak besar.

Pantai terus terhakis, bersama ingatan tentang sejarah Perang Dunia Kedua di sini.

Related Articles

Leave a Reply

error: Aha??? Nak buat apa tu?