Home Sejarah Kisah Darurat Malaya jadi bahan pameran di Imperial War Museum

Kisah Darurat Malaya jadi bahan pameran di Imperial War Museum

by Zaki Salleh
IPOH, 6 NOV – Muzium perang tersohor, Imperial War Museum (IMW) di London akan mengangkat kisah Darurat di Tanah Melayu (Malaya) sebagai bahan pameran terbaharu.
Ini khususnya membabitkan kisah dan penglibatan rakyat Malaysia semasa mengharungi 12 tahun era Darurat.
Sehubungan itu, bahan-bahan berkaitan sejarah konflik tersebut sedang dikumpul dan dikemaskini bagi menjadikan ia sebagai pameran bermaklumat yang menarik.
Darurat Tanah Melayu yang berlaku pada 1948 hingga 1960 diisytiharkan British berikutan ancaman keganasan pengganas komunis.
Kurator utama IWM London, Carl Warner berkata, pengalaman-pengalaman orang yang terjejas pada era 1950an itu akan dipamerkan pada pameran yang akan dinamakan Emergency Exits.
“Emergency Exits juga akan menampilkan dua lagi konflik serupa (darurat) yang berlaku di Kenya dan Cyprus.
“Perancangan pameran tersebut telah dibuat selama beberapa tahun. Pameran tersebut dijangka akan bermula pada Oktober tahun hadapan,” katanya.
Beliau sebelum itu bersama delegasi dari IWM London melakukan lawatan ke lokasi bersejarah di pekan Papan di Batu Gajah.
Pekan Papan yang terletak berhampiran Batu Gajah, pernah membangun dengan pesat ketika zaman kegemilangan perlombongan .
Sebelum Papan muncul sebagai bandar perlombongan bijih timah, ia merupakn kawasan pembalakan terutama kayu cengal
Di sini juga letaknya beberapa tinggalan bersejarah seperti Galeri Warisan Papan, Masjid Papan, Rumah Asal Raja Billah serta bekas kediaman wirawati Perang Dunia Kedua, Sybil Kathigasu yang dijadikan memorial.
Sybil Kathigasu yang berbangsa Serani menjadi satu-satunya wanita Malaya dianugerahkan pingat George Medal atas keberaniannya merawat gerila semasa Perang Dunia Kedua.
Menjelaskan lebih lanjut kata Warner, di awal perancangan pihaknya tidak mempunyai maklumat yang lengkap untuk menjadikan pameran tersebut benar-benar menarik.
“Mulanya kami tidak mempunyai maklumat yang betul untuk menjadikannya pameran menarik, iaitu memaparkan kisah-kisah Darurat di Malaya, Kenya dan Cyprus di mana insiden ini bertindih pada 1950an.
“Kami mempunyai koleksi cerita yang hebat daripada tentera British tetapi kami tidak mempunyai cerita tentang orang yang terjejas oleh konflik,” katanya.
Menurutnya, pihaknya juga menemu bual penduduk kampung-kampung baru yang kebanyakannya berusia 80 hingga 90 tahun bagi
mengutip pengalaman mereka semasa Darurat.
Katanya, selain pekan Papan, delegasi IWM London turut melawat Kampung Baru Chaah di Segamat, Tras (Raub) dan Yong Peng.
IMW yang ditubuhkan pada 1917 merupakan muzium perang terbaik di dunia dengan mempunyai koleksi lengkap semua konflik yang berlaku pada abad ke-20 dan 21.
Ini merangkumi semua aspek konflik yang melibatkan Britain, bekas empayarnya dan Komanwel, dari Perang Dunia Pertama hingga ke hari ini.
Bahan-bahan sejarah yang dipamerkan juga menjadi rujukan penyelidik, pengkaji dan pelbagai media serata dunia.

Related Articles

Leave a Reply

error: Aha??? Nak buat apa tu?