KUALA LUMPUR, 6 Dis – Kementerian Pertahanan (MINDEF) menegaskan bahawa Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 akan diteruskan dengan konsep baharu bermula tahun hadapan, meskipun mendapat cadangan untuk dihentikan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, tidak adil sekiranya PLKN 3.0 dibandingkan dengan program kerahan tenaga negara-negara luar kerana pelaksanaannya lebih menumpukan kepada pembentukan nilai patriotisme dan perpaduan, berbanding perkhidmatan ketenteraan aktif.
“Objektif pelaksanaan semula program ini jelas sebagai wadah pembentukan generasi baharu yang menitikberatkan semangat patriotisme, mengamalkan nilai-nilai murni, sentiasa memupuk semangat perpaduan dan menanamkan semangat kesukarelawanan,
“Atas dasar itu, PLKN 3.0 tidak boleh hanya dilihat sebagai latihan asas ketenteraan semata-mata. Tetapi satu program yang turut merangkumi Modul Kenegaraan (Elemen Jati Diri, Elemen Cinta Negara dan Elemen Perpaduan) bagi memenuhi objektif yang telah digariskan,” jelasnya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian bagi sebagai maklum balas terhadap kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Pembinaan Negara Bangsa, Pendidikan dan Pembangunan Sumber Manusia, Datuk Sri Saifuddin bin Abdullah yang mencadangkan agar pelaksanaan program itu tidak diteruskan.
Saifuddin berpendapat, pelaksanaan PLKN 3.0 tidak mempunyai objektif dan sasaran pencapaian yang jelas.
“Sekiranya kerajaan masih berhasrat untuk melaksanakannya, maka, JKPK berpendapat satu kajian yang lebih mendalam dan terperinci perlu dibuat terlebih dahulu,” katanya dalam sidang media di Parlimen pada Khamis.
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, PLKN 3.0 telah melalui kajian mendalam untuk mengatasi kelemahan pelaksanaan terdahulu.
Projek perintisnya akan bermula Januari 2025 di kem Askar Wataniah, universiti awam, Institut Pendidikan Guru (IPG), dan politeknik di seluruh negara.
“Dalam meminimumkan perbelanjaan, MINDEF akan melaksanakan PLKN di 13 buah kem Askar Wataniah, 20 buah universiti awam, Institut Pendidikan Guru (IPG) dan beberapa buah politeknik di seluruh negara,
“MINDEF juga berpandangan bahawa usaha memupuk patriotisme dan nilai jati diri yang baik dalam diri anak muda bukanlah perkara yang bersifat sampingan, sisipan atau secondary kepada negara,” ujarnya lagi.
Beliau juga menegaskan bahawa PLKN 3.0 penting untuk membina negara bangsa yang bersatu padu dan mampu menghadapi cabaran masa depan.
Pada 16 November lalu, Kementerian Pertahanan mengumumkan PLKN 3.0 akan bermula 12 Januari tahun depan membabitkan 200 pelatih lelaki lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Timbalan Menterinya, Adly Zahari berkata, ia adalah latihan atau fasa percubaan sebelum diperluaskan ke fasa seterusnya pada Jun tahun depan.
Katanya, latihan itu akan membabitkan tempoh selama 2 minggu dan dilaksanakan di Rejimen 515 Askar Wataniah, Kem Transit di Kuala Lumpur. -airtimes.my
#pertahanan #PLKN #JKPK #Mindef #airtimes #Khaled