IPOH, 4 Dis – Penugasan pasukan penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri Perak diperkemaskan apabila memperkenalkan penggunaan kamera badan.
Ia melibatkan tujuh buah PBT di negeri ini.
PBT itu adalah Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Majlis Perbandaran Manjung (MPM), Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK), Majlis Perbandaran Taiping (MPT), Majlis Daerah Batu Gajah (MDBG), Majlis Daerah Kampar (MDKpr), dan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI).
Ini merupakan langkah proaktif bagi menambah baik penugasan di lapangan.
Inisiatif ini bertujuan untuk memperkasakan penguatkuasaan PBT melalui teknologi bagi meningkatkan akauntabiliti dan ketelusan.
Ia secara tidak langsung memperkukuhkan kepercayaan awam serta menyediakan bukti kukuh dalam siasatan.
Selain itu, ia mampu mengurangkan aduan salah laku dan melindungi penguatkuasa semasa bertugas.
Terdahulu, sesi penyerahan kamera badan tersebut telah disempurnakan oleh Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Perak, Sandrea Ng di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini.
Menurut beliau, sebanyak 12 unit kamera telah diagihkan dengan peruntukan RM34,788 dan Fasa 2 akan diteruskan pada tahun 2025 melibatkan lapan PBT lagi.
“Saya berbesar hati menyempurnakan penyerahan kamera badan kepada tujuh PBT terpilih di bawah Fasa 1 Program Penggunaan Kamera Badan PBT Negeri Perak.
“Kerajaan negeri komited memastikan setiap tindakan penguatkuasaan dijalankan dengan tegas, telus dan menyeluruh demi kesejahteraan rakyat Perak,” ujarnya.
Katanya, BWC akan digunakan dalam setiap tindakan penguatkuasaan di kawasan PBT bagi memastikan operasi dijalankan lebih telus, profesional dan beretika dan berintegriti.
Uji kaji penggunaan kamera badan oleh PBT Perak bermula Ogos lalu selepas timbul kontroversi berkaitan operasi penangkapan haiwan jalanan.
“Sebelum ini pasukan penguatkuasaan sebagai barisan hadapan PBT terpaksa berhadapan pelbagai cabaran dan juga kontroversi.
“Jadi penggunaan kamera badan ini dapat membantu kita meningkatkan ketelusan, sekali gus bukti sekiranya berlaku kes tindakan mahkamah,” ujar beliau.
Sebelum ini pada September lalu, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) memperkenalkan penggunaan kamera badan kepada pegawai penguatkuasanya di lapangan.
Inisiatif itu sebagai usaha berterusan dalam meningkatkan ketelusan, akauntabiliti dan keselamatan.-airtimes.my
#PBT #penguatkuasa #kamerabadan #airtimes #Malaysia