KUALA LUMPUR, 4 Dis – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) menegaskan bahawa keselamatan dan kesejahteraan pelajar sentiasa menjadi keutamaan susulan isu penganiayaan yang berlaku di Akademi Latihan Ketenteraan (ALK).
Markas ATM berkata, langkah ini merangkumi penyediaan saluran bagi pelajar melaporkan sebarang gangguan atau ancaman, serta pemberian sokongan psikologi kepada mangsa penganiayaan.
Selain itu, ATM juga akan terus konsisten memastikan kejadian penganiayaan di UPNM tidak hanya ditangani melalui tindakan disiplin dalam kalangan anggota, tetapi juga dengan menerapkan budaya ketenteraan yang beretika, berdisiplin dan saling menghormati dalam setiap aspek latihan serta kehidupan ketenteraan.
“Tanpa sebarang kompromi terhadap kekerasan atau penganiayaan, ATM juga komited untuk menegakkan perundangan dan melaksanakan langkah-langkah sewajarnya,
“Tindakan ini adalah bagi mencegah kejadian seperti ini daripada berulang pada masa hadapan, demi memelihara maruah institusi ketenteraan serta kesejahteraan semua pegawai dan anggota yang dilatih,” jelas ATM dalam kenyataan, pada Rabu.
Menurut ATM, pihaknya dan UPNM akan memperkukuh kerjasama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan badan-badan pendidikan lain bagi memastikan mutu dan standard etika yang tinggi terus dikekalkan dalam sistem latihan ketenteraan di institusi tersebut.
Langkah tegas bendung budaya buli di ALK
Dalam kenyataan yang sama, ATM menegaskan, pihaknya memandang serius dan mengambil langkah tegas bagi menangani kes penganiayaan yang berlaku dalam kalangan Pegawai Kadet di ALK, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
Selain itu tindakan ini juga selari dengan titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang menzahirkan keprihatinan terhadap isu tersebut semasa Majlis Istiadat Konvokesyen UPNM pada 3 Disember 2024.
Titah Baginda jelas menunjukkan bahawa kes penganiayaan ini tidak boleh dibiarkan berlarutan atau berlaku kerana ia bukan sahaja menjejaskan kesejahteraan pelajar, malah boleh mencemarkan reputasi institusi pengajian tinggi serta ATM secara amnya.
Berlanjutan daripada kes yang berlaku, ATM telah melaksanakan siasatan menyeluruh dengan kerjasama pihak berkuasa berkaitan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak pengurusan universiti.
Ia adalah bagi mengenal pasti serta mengambil tindakan terhadap individu yang terlibat dalam sebarang perlakuan penganiayaan dalam kalangan Pegawai Kadet.
“ATM juga telah mengambil tindakan disiplin yang tegas terhadap Pegawai Kadet yang didapati bersalah dalam kes penganiayaan, termasuklah pemberhentian, penggantungan, atau hukuman lain yang selaras dengan peraturan dan etika ATM,
“Pihak ATM juga telah melaksanakan program kesedaran dan kaunseling untuk mencegah insiden ini dari berulang selain pengasingan tempat penginapan diantara Pegawai Kadet Senior serta Pegawai Kadet Tahun Satu,” ujar MK ATM lagi.
Selain itu, ALK juga telah menambah pemasangan 21 Closed-Circuit Television (CCTV) baharu di blok penginapan Pegawai Kadet sebagai tambahan yang sedia ada bagi meningkatkan keberkesanan pemantauan serta memperkukuhkan tahap keselamatan.
Menurut ATM, penugasan Ketua Jurulatih Bertugas diwujudkan bagi memantau secara khusus Pegawai Kadet. Ketua Jurulatih Bertugas bersama 8 Jurulatih Bertugas harian melaksanakan rondaan dengan lebih kerap, terutamanya selepas jam 2300 bagi memastikan keselamatan dan disiplin Pegawai Kadet terpelihara.
“Selain itu, ALK telah memajukan permohonan bagi pengisian perjawatan, terutamanya untuk menambah bilangan jurulatih bagi mengurangkan beban tugas sedia ada dan memastikan keberkesanan pemantauan yang lebih sistematik terhadap Pegawai Kadet,” jelas Markas ATM lagi.
ATM juga melaksanakan tindakan jangka masa panjang iaitu tindakan tegas terhadap pelaku penganiayaan. Selain tindakan disiplin tegas mengikut Akta Angkatan Tentera (AAT) 1972, segala keputusan berkaitan salah laku yang dibawa ke Lembaga Komandan akan diselaraskan dan dipersetujui bersama pihak UPNM selaras dengan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971.
“ATM akan meningkatkan usaha memperkukuh nilai-nilai positif dalam kalangan Pegawai Kadet, termasuk melalui kempen kesedaran tentang bahaya buli, pengukuhan jati diri, serta penerapan prinsip kesaksamaan dan hormat-menghormati.
Semalam, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menzahirkan rasa dukacita terhadap kes penderaan sehingga menyebabkan kecederaan dan kematian di UPNM.
Baginda bertitah, budaya tidak sihat ini mesti dihentikan segera, dan nama baik UPNM perlu dipulihkan demi menjaga kepercayaan masyarakat.
“Bagi melahirkan seorang pegawai tentera, memang memerlukan latihan fizikal dan mental yang keras. Tetapi ini tidaklah sampai mendera sehingga menyebabkan kecederaan dan kematian,
“Saya percaya ibu bapa menghantar anak mereka ke sini untuk belajar menjadi seorang pegawai tentera, bukan untuk didera,” titah Baginda,” semalam. -airtimes.my
#airtimes #ALK #UPNM #buli #pegawaikadet #Malaysia