Pengesahan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) tentang punca insiden melibatkan kapal serang laju (FAC) KD Pendekar yang karam dekat perairan Johor wajar membuka mata semua pihak.
Dalam insiden pada 25 Ogos lalu, kapal berkenaan karam ketika melaksanakan rondaan operasi.
Insiden berlaku apabila kapal menghadapi gegaran kuat diikuti kebanjiran besar semasa menghampiri pesisir pantai untuk melakukan pemeriksaan teknikal.
Laporan Lembaga Siasatan TLDM yang dipaparkan pada laman media rasmi pasukan tersebut menyebut kejadian berpunca kesilapan kapal menyebabkan kapal terlanggar Terumbu Pungai.
Faktor keusangan kapal yang berusia 45 tahun telah menyukarkan kawalan kebanjiran berikutan kelemahan struktur badan kapal.
Ini mempercepatkan kebanjiran merebak ke bahagian-bahagian lain.
Walaupun dalam kenyataan itu, TLDM menegaskan mengambil serius terhadap dapatan insiden yang berlaku, persoalan seterusnya ialah bagaimana dengan kapal-kapal peronda lain yang seusianya?
Tenggelamnya kapal KD Pendekar merupakan satu perkara yang sangat dibimbangi kerana isu berhubung aset-aset berusia atau usang TLDM ini telah banyak kali diperkatakan.
KD Pendekar dibina pada 1978 berdasarkan reka bentuk kapal serang laju Spica-M buatan Karlskrona Varvet Shipyard, Sweden.
Keseluruhannya TLDM memiliki 14 kapal FAC yang lahir semasa era pemodenan TLDM pada dekad 70an yang mana aset ini diperolehi sesuai dengan teknologi pada masa itu.
Hari ini rekabentuk dan kebolehan kapal-kapal FAC sebenarnya telah ketinggalan zaman.
Negara jiran Singapura misalnya telah 16 tahun menamatkan kapal-kapal jenis FAC, sepertimana TLDM, republik itu mengoperasikan kapal jenis ini pada dekad yang sama.
Begitu juga kapal peronda kelas PC, Singapura tidak lagi mengoperasikan kapal-kapal peronda lama ini sejak 1998.
Singapura sebaliknya telah menggantikan kapal-kapal usang ini dengan kapal peronda generasi baharu.
Sebab itu tentera laut Singapura sentiasa lebih baik berbanding angkatan negara-negara jirannya kerana mahu mengekalkan keupayaan kuasa laut.
Malangnya, TLDM terus mengekalkan kedua-dua jenis kapal peronda dan FAC sehingga dilabelkan sebagai angkatan laut vintaj.
Meletakkan semata-mata pada keimanan, kerohanian serta jiwa patriotik yang meluap-luap untuk mengekalkan keselamatan anggota dan kesiagaan armada sebagai keutamaan TLDM adalah tidak memadai.
Realitinya juga, insiden karamnya KD Pendekar tidak dapat menyaksikan kerajaan bakal membuat penggantian kapal-kapal usang ini seberapa segera atau dalam masa terdekat.
Ini kerana prosesnya memerlukan masa panjang selain melihat pada keupayaan kewangan negara.
Apa ada pada wang jika hendak dibandingkan dengan keselamatan negara.
Jika membuat kiraan secara kasar, kerajaan sekurang-kurangnya perlu membelanjakan RM2 bilion untuk membeli 6 buah kapal peronda.
Kos ini bagaimana pun boleh bertambah bergantung kepada sistem pada kapal termasuk persenjataan.
Sebagai perbandingan, pada April 2017 kerajaan membeli empat kapal misi pesisir (LMS) dari negara China dengan harga RM1.17 bilion.
Kita sememangnya percaya dan yakin pada kemampuan kesemua warga TLDM dapat menjalankan tugas dengan sempurna dan mengikut garis panduan yang telah ditetapkan.
Bagaimana pun, slogan sahaja tanpa menyediakan kelengkapan yang sepatutnya adalah usaha seperti melepaskan batok di tangga.
Lebih lama kerajaan bertangguh maka lebih lama kapal-kapal usang akan terus dikerah belayar meronda perairan negara.
Kita tidak mahu berlaku insiden kedua selepas KD Pendekar.-airtimes.my
#pertahanan #KDPendekar #TLDM #airtimes #Malaysia #tenggelam
