IPOH, 29 Okt – Laporan pakar Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengesahkan bandaraya Ipoh tidak terkesan daripada segi permukaan bumi atau punca lain susulan kejadian dentuman kuat yang berlaku pada 21 Oktober lalu.
Ini antara dapatan yang dirumuskan hasil mesyuarat melibatkan 20 agensi yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak.
Mesyuarat dipengerusikan oleh Ketua Polis Perak, Datuk Pahlawan Azizi Mat Aris.
Antaranya termasuk Jabatan Mineral dan Geosains, METMalaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia serta pegawai daerah bagi merungkai punca bunyi dentuman di Ipoh.
Menurut Azizi, pada mesyuarat itu pakar-pakar mewakili jabatan dan agensi memberikan pandangan yang terperinci.
Ini termasuklah daripada aspek sains dan persekitaran.
“Kita ambil aspek saintifik melalui gegaran bumi atau pergerakan letupan, tetapi ia tidak berlaku dalam bacaan kadar yang ditetapkan.
“Malah, seperti mana dalam kenyataan METMalaysia yang mengatakan kejadian ini tidak mirip ke arah gempa bumi atau pergerakan di kerak-kerak bumi serta tidak terkesan dengan letupan dari negara jiran,” katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat tersebut.
Jelas Azizi, kebarangkalian dentuman disebabkan ledakan sonik atau sonic boom juga ditolak kerana ruang udara ketika kejadian berlaku adalah terkawal.
Katanya, pihak berkuasa penerbangan mengesahkan sistem radar tidak mengesan terdapat sebarang penerbangan pada masa kejadian.
“Dakwaan tentang aktiviti letupan kuari juga ditolak kerana terdapat SOP yang ketat, malah aktiviti letupan kuari perlu diawasi oleh polis.
“Kaedah letupan yang dibenarkan pula tidak mungkin menimbulkan gegaran kuat di beberapa tempat,” ujarnya.
Sehubungan itu, hasil mesyuarat mengemukakan tiga teori dan menolak kesemuanya kerana tidak mempunyai sebarang bukti kukuh untuk dikaitkan dengan kejadian dentuman.
“Rata-rata pakar yang memberi pandangan tidak boleh mengesan bunyi dentuman itu berpunca daripada apa.
“Bagaimana pun, bandaraya Ipoh dan kawasan sekitar disahkan selamat walaupun kejadian yang berlaku mencetuskan kebimbangan orang ramai.
“Pihak kita dan bomba juga tidak menerima sebarang aduan tentang apa-apa kerosakan disebabkan kejadian dentuman tersebut.
“Pada masa sama kita menasihatkan orang ramai agar tidak bimbang kerana kejadian seumpama itu pernah berlaku pada tahun 2012 dan 2018 di mana punca insiden kekal misteri sehingga kini,” ujarnya.-airtimes.my
#semasa #dentuman #bunyiletupan #Ipoh #airtimes
