Home Semasa 111 pegawai penyiasat SPRM tamat latihan kadet

111 pegawai penyiasat SPRM tamat latihan kadet

by Zaki Salleh

NILAI, 29 Oktober – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memperkasakan lagi kebolehan dalam melaksanakan tanggungjawab kepada negara apabila melahirkan kumpulan pegawai penyiasat (IO) baharu.

Seramai 111 pegawai penyiasat berpangkat Penolong Penguasa Gred P29 berjaya menamatkan latihan setelah menjalani Kursus Asas Pegawai SPRM Siri 28 Bilangan 1 Tahun 2023.

Ini merupakan kali pertama Pusat Latihan Asas SPRM, Bandar Enstek di Nilai, Negeri Sembilan menerima para pelatih setelah kompleks diterima secara rasmi pada 1 November 2023.

Pusat latihan tersebut diuruskan oleh Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) selaku pengendali program latihan dan kursus dalam meningkatkan kecekapan dan profesionalisme pegawai dan kakitangan SPRM.

Kompleks pusat latihan ini boleh menampung kira-kira 200 kadet dengan kemudahan seperti padang kawad, asrama penginapan, dewan kuliah, kafeteria, surau dan dataran rehat.

Kesemua kadet mengikuti kursus selama sembilan bulan merangkumi Program Akreditasi Kursus Asas SPRM dan pengajian Professional Diploma in International Law Enforcement: Anti-Corruption Studies (Level 5).

Kadet yang melengkapkan modul kursus asas ditetapkan akan dianugerahkan diploma tersebut.

Program berkenaan adalah kerjasama antara SPRM dan Nottingham Trent University (NTU), United Kingdom sejak 2018.

Kadet SPRM juga perlu melepasi ujian poligraf sebagai syarat penting sebelum memasuki kursus asas bagi memastikan calon memiliki tahap integriti.

Ini demi melahirkan pegawai terlatih bagi meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap tugas memerangi rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

Ia ermasuk daripada segi pengetahuan perundangan, kemahiran penyiasatan dan pembinaan karakter.

Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dato’ Sri Haji Azam Baki hadir dan mengambil tabik hormat pada perbarisan tamat tatihan.

Anugerah Kadet Terbaik Keseluruhan diterima Kadet Mohammad Ikhmal Mohamad Huzir Affindi.

Kadet Nur Alis Fitrah Muhamad Sopie dan Kadet Muhammad Habil Arshadi Rosdin masing-masing diumumkan sebagai penerima Anugerah Kadet Latihan Luar Terbaik Kategori Wanita dan Lelaki.

Sementara itu dalam ucapannya, Azam memberitahu kesemua kadet ini akan ditugaskan sebagai pegawai penyiasat di Bahagian dan Unit Siasatan SPRM negeri selama tiga tahun.

Ini untuk melatih diri menjadi pegawai yang berpengalaman, berkualiti dan berkemahiran tinggi.

“Pelbagai usaha telah dilakukan SPRM melalui MACA dalam meningkatkan kualiti pegawai-pegawai terutama dalam aspek penambahbaikan modul asas dari semasa ke semasa, selaras dengan kehendak masyarakat yang mahukan Malaysia bebas daripada rasuah.

“Dalam dunia serba maju dan berteknologi tinggi hari ini, jenayah rasuah semakin kompleks dan sukar dibendung, umpama ‘api dalam sekam’ yang boleh membinasakan negara.

“Oleh itu, pegawai SPRM perlu melengkapkan diri dengan kemahiran, pemikiran kreatif, bersikap positif dan responsif agar SPRM terus kekal relevan,” katanya.-airtimes.my

#semasa #SPRM #tamatlatihan #MACA #airtimes

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!