Home Pertahanan dan Keselamatan Koordinasi terbaik RTM-ATM paparkan kehebatan siaran langsung HUT Ke-91

Koordinasi terbaik RTM-ATM paparkan kehebatan siaran langsung HUT Ke-91

by Zaki Salleh

KUALA LUMPUR, 9 OKT –  Demonstrasi Dinamik dan Perbarisan Tempur Hari Ulang Tahun Ke-91 Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berlangsung pada Sabtu lalu bukan sahaja memukau, malah menonjolkan sisi kegagahan wira-wira negara.

Kem Segenting, Port Dickson, Negeri Sembilan digegarkan dengan himpunan 134 pegawai dan 1,395 anggota ketiga-tiga cabang bersama aset-aset pelbagai.

Keupayaan ketumbukan gabungan ATM berjaya ditampilkan hebat menerusi koordinasi operasi maritim, operasi serangan amfibia dan operasi serangan melalui hantaran udara.

Selain penonton yang menyaksikan demonstrasi tersebut di lokasi, jutaan rakyat Malaysia termasuk di luar negara melihat ‘aksi’ hebat ini menerusi kaca televisyen.

Bersiaran secara langsung, Radio Televisyen Malaysia (RTM) perlu diberikan pujian kerana membolehkan demonstrasi dinamik yang jarang-jarang diadakan ini diberikan liputan.

Keseluruhan yang terlibat dalam siaran langsung ini melibatkan pasukan penerbitan, kru, teknikal dan kumpulan sokongan seramai 75 orang diketuai Penerbit Siaran Langsung HUT ATM, Mohd Rafael Ramlan.

Difahamkan, pihak RTM telah membuat persediaan selama sebulan bagi menjayakan lintas langsung ini termasuk koordinasi di lokasi.

Menurut Penolong Pengarah Unit Siaran Langsung, Seksyen Ehwal Semasa RTM, Wan Lukman Mohamed Fisol, persediaan tersebut melibatkan koordinasi teknikal bersama pihak ATM, Mesyuarat Penyelarasan dan perbincangan secara kerap bersama pasukan-pasukan yang terlibat.

“Koordinasi kru dan pihak ATM di lapangan semasa siaran langsung membabitkan demonstrasi pertempuran pula dibuat

melibatkan pecahan penugasan segmen aksi dan penyelarasan latihan bersama pihak 10 Briged Para.

“Kredit perlu diberi kepada Penerbit Siaran Langsung HUT ATM, Mohd Rafael Ramlan dan pasukannya,” ujarnya.

Keberkesanan dan kecekapan kru serta pihak teknikal RTM mengendalikan siaran langsung ini khususnya kerja-kerja kamera di lapangan adalah hasil daripada pengalaman yang diperoleh sebelum ini.

Kata Wan Lukman, pertama kali RTM berkolaborasi dengan pihak ATM untuk mengadakan siaran langsung Demonstrasi Dinamik ATM ialah pada tahun 2020.

“Ketika itu ia melibatkan kerjasama bersama Grup Gerak Khas dan 10 Briged Para untuk penggambaran Rakaman Hari Kebangsaan 2020.

“Seterusnya semasa Hari ATM ke-88, Hari Tentera Darat ke-89, Hari ATM ke-90 dan terbaharu ialah Hari ATM ke-91,” jelas beliau.

Sementara itu, pujian pada kejayaan siaran langsung RTM dan ATM ini turut diberikan mantan Ketua Bahagian Hal Ehwal Awam (BHEA) Markas ATM, Lt Kol (B) Mohd Riduan Yusoff.

Beliau yang berkongsikan perkara itu menerusi laman media sosialnya turut memuji peranan yang dimainkan pegawai perhubungan awam (PRO) semua perkhidmatan ATM.

“Syabas kepada tim Bahagian Risikan dan Komunikasi Strategik ATM dalam koordinasikan segala kerjasama terutama dengan pegawai-pegawai PRO perkhidmatan serta meningkatkan aspek siaraya Hari ATM Ke-91 kali ini.

“Pengulas pun dari ketiga-tiga perkhidmatan, lebih jelas penerangan kerana wakil pegawai kanan adalah pakar serta berpengetahuan mengenai perkhidmatan masing-masing.

“Semoga PRO ATM dan perkhidmatan terus berkembang dan dilihat satu jabatan yang signifikan kewujudannya,” ujarnya.

#AirTimes #RTM #ATM #ATM91

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!