Home Pertahanan dan Keselamatan Menteri Pertahanan di Kuwait, adakah perolehan F/A-18 Hornet dalam perbincangan?

Menteri Pertahanan di Kuwait, adakah perolehan F/A-18 Hornet dalam perbincangan?

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 7 OKT – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dilaporkan kini berada di Kuwait.

Beliau telah tiba Terbang Antarabangsa Kuwait pada petang Ahad (waktu tempatan).

Apa yang menarik perhatian mengenai rangka lawatan kerja rasmi Menteri Pertahanan ke Kuwait adalah pertemuan dengan rakan sejawatannya, Sheikh Fahad Yousef Saud Al-Sabah dan juga lawatan ke Pangkalan Udara Ahmad Al-Jaber milik Tentera Udara Kuwait (KAF).

Melihat kepada hantaran Khaled di akaun media sosial rasmi beliau, delegasi lawatan turut disertai oleh Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan; Mohd Yani Daud, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertahanan Malaysia bersama pegawai-pegawai kanan Kementerian Pertahanan dan Markas Tentera Udara Malaysia.

Pangkalan Udara Ahmad Al-Jaber merupakan tempat terletaknya 3 skuadron F/A-18 C/D yang dioperasikan oleh KAF.

Di atas kertas, KAF mengoperasikan 39 Hornet legasi yang terdiri daripada 31 F/A-18C dan 8 F/A-18D.

Umum mengetahui bahawa perolehan 33 buah F/A-18 Hornet terpakai dari Kuwait merupakan antara perkara yang masih menjadi tanda tanya dalam isu pertahanan negara.

Perolehan jet pejuang dari Negara Teluk itu merupakan langkah opsyen bagi mempertingkatkan kekuatan Tentera Udara Diraja Malaysia dalam menanti jet pejuang tempur baharu yang termaktub dalam pelan rancangan Capability 2055 (CAP55).

Walaupun sekadar opsyen, perolehan dari Kuwait dijangka akan membentuk satu skuadron baharu jika jumlah 33 buah tersebut berjaya direalisasikan.

Isu perolehan F/A-18 Hornet dari Kuwait sememangnya sudah lama berlarutan. Tambahan pula, Kuwait sebelum ini berhadapan dengan isu politik dalaman yang menyebabkan pertukaran kerajaan yang begitu kerap.

Namun begitu, perolehan F/A-18 dari Kuwait dilihat masih lagi mempunyai harapan.

Pada Jun lalu, Panglima Tentera Udara menyatakan TUDM menghantar pasukan teknikalnya ke Kuwait bagi melihat, menilai dan memutuskan jumlah jet pejuang yang akan diperolehi.

Selain daripada itu, Menteri Pertahanan turut menzahirkan hasrat Malaysia untuk memperolehi F/A-18 Hornet dari Negara Teluk itu ketika menerima kunjugan Duta Kuwait ke Malaysia Rashed Mohammed Rashed ALSALEH  pada Julai lalu.

“Antara perkara yang dibincangkan adalah berkenaan hasrat negara untuk memperoleh jet-jet pejuang F/A-18 Hornet milik Tentera Udara Kuwait (KAF) setelah KAF menerima Super Hornet baharunya,” jelasnya dalam hantaran akaun media sosial rasmi beliau semasa bertemu dengan ALSALEH.

Pada ketika ini, sumber memaklumkan kepada Air Times bahawa penilaian teknikal di Kuwait pada Julai menunjukkan perkembangan positif namun perjalanan masih jauh.

Malah, persetujuan dari Jemaah Menteri adalah antara perkara yang diperlukan sekiranya Malaysia mahu memulakan rundingan perolehan F/A-18 Hornet dari Kuwait.

Sekiranya rundingan bermula, ia secara tidak langsung memberikan isyarat bahawa Mesyuarat Jemaah Menteri telah bersetuju mengenai perolehan jet pejuang itu.

Namun, Malaysia dijangka perlu mendapat persetujuan daripada Amerika Syarikat sekiranya rundingan dengan Kuwait berjaya. Di atas kertas, Malaysia dilihat mempunyai kelebihan memandangkan hubungan diplomatik terutamanya dari segi kerjasama pertahanan serta keselamatan dengan Washington adalah begitu kukuh. – airtimes.my

#AirTimes #Pertahanan #Kuwait #Hornet

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!