Home Semasa Kes GISBH: Jangan hukum sebelum keputusan mahkamah – Tuan Ibrahim

Kes GISBH: Jangan hukum sebelum keputusan mahkamah – Tuan Ibrahim

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 30 Sept – PAS menyeru masyarakat untuk berhenti daripada menjatuhkan hukuman kes kontroversi membabitkan Global Ikhwan Sdn Bhd Holding (GISBH) selagi ia belum diputuskan oleh mahkamah.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, semua pihak selain hakim, termasuk penyiasat tidak mempunyai autoriti yang boleh menentukan sama ada satu-satu pihak itu bersalah atau sebaliknya.

Tegasnya, budaya menjatuhkan hukuman sebelum keputusan mahkamah jelas bercanggah dengan kaedah pengasingan kuasa yang menjadi teras dalam negara.

“Malah saya melihat ia lebih malang jika pihak yang melakukan penyiasatan terus menjatuhkan hukuman ‘bersalah’ dan seolah-olah memberi tekanan kepada mahkamah agar seiring dengan ‘keputusan’ mereka,

“Sedangkan, tugas pihak penyiasat hanyalah mencari dan mengemukakan bukti siasatan untuk dipertimbangkan dalam perbicaraan mahkamah,

“Tidak terhad kepada isu GISBH sahaja, apa juga kes mahkamah adalah tempat bergantungnya orang ramai bagi menegakkan hak dan keadilan,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Menurut Ahli Parlimen Kubang Kerian itu, ramai pihak mengulas kes GISBH sehingga menggambarkan seolah-olah pihak berkenaan telah pun dijatuhkan hukuman bersalah.

Sebelum ini, pihak polis menerusi Op Global melakukan serbuan terhadap rumah-rumah amal di seluruh negara yang dikaitkan dengan GISBH kerana disyaki terlibat dalam kegiatan eksploitasi kanak-kanak serta agama.

Media melaporkan mangsa terdiri 201 kanak-kanak lelaki dan 201 perempuan berusia setahun hingga 17 tahun disyaki menjadi mangsa eksploitasi, pengabaian dan penganiayaan di premis dipercayai milik GISB Holdings.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya turut menahan 171 individu terdiri tenaga pengajar, penjaga asrama dan pengerusi pusat pengajian.

Tuan Ibrahim berkata budaya ‘penyiasat’ terlajak membuat keputusan mesti dihentikan demi menegakkan keadilan, sekali gus mengukuhkan pengasingan kuasa dalam dasar negara.

Ujarnya, perkara seumpama itu biar mahkamah membuat keputusan dan tindakan yang sepatutnya berdasarkan peruntukan undang-undang yang ada.

“Seharusnya kita perlu membiarkan siasatan lengkap oleh pihak polis, agensi penyiasat, badan berautoriti agama sehinggalah keputusan daripada mahkamah.

“Budaya membuat ‘keputusan’ sebelum mahkamah memutuskan sesuatu perkara sepatutnya dihentikan,” ujarnya lagi. -airtimes.my

#semasa #GISBH #Malaysia #PDRM #siasatan #airtimes

Related Articles

Leave a Reply