KOTA TINGGI, 29 Sept – Seorang anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) ditemukan lemas di Tasik Empangan Linggiu, Bandar Tenggara pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintenden Yusof Othman berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai insiden yang menimpa lelaki berusia 32 tahun itu pada 2.35 pagi.
Beliau berkata, ketika kejadian, mangsa yang sedang menaiki bot milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersama 3 anggota lain sebelum bot dinaiki terlanggar objek dipercayai kayu hanyut menyebabkan mereka terjatuh.
“Bagaimanapun, 3 yang lain dapat menyelamatkan diri dan usaha mencari mangsa di sekitar kawasan berkenaan tidak menjumpai sebarang petunjuk sebelum mereka memaklumkan kejadian terbabit kepada penyelia bertugas,
“Susulan itu, sejumlah pegawai dan anggota dari Balai Polis Bandar Tenggara, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kota Tinggi serta Bandar Tenggara serta unit skuba telah diatur gerak bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat,” menurutnya dalam kenyataan semalam.
Yusof berkata, mangsa dijumpai oleh unit skuba pada kedalaman 13 meter dengan kedudukan kira-kira 7 meter dari lokasi dilaporkan terjatuh pada 11.50 pagi.
Menurut Yusof, mayat mangsa kemudian dibawa naik ke permukaan sebelum dihantar ke unit forensik Hospital Kota Tinggi untuk tindakan prosedur siasatan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.-airtimes.my
#pertahanan #airtimes #lemas #maut #TDM #KotaTinggi #Malaysia