KOTA KINABALU, 28 Sept – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) terus memperkasakan aspek kebolehoperasian serta persefahaman komuniti maritim secara bersama menerusi Eksesais Samudera Perkasa Timur 2/2024.
Bahagian Komunikasi Strategik, Markas Pemerintahan Armada Timur (MPA Timur) memaklumkan, eksesais yang bermula sejak 23 September lalu adalah medan bagi memastikan kestabilan dan keamanan serantau khususnya di Laut China Selatan.
Eksesais yang dilaksanakan di Kota Kinabalu itu melibatkan 2 buah kapal TLDM iaitu KD Kelantan dan KD Rencong serta sebuah Pesawat Helikopter Maritim (HOM).
Manakala APMM, melibatkan 4 buah kapal iaitu KM Adil, KM Bistari, KM Stapa dan KM Renggis.
Selain itu, eksesais kali ini turut melibatkan elemen daripada Pasukan Khas Laut (PASKAL) TLDM dan Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) APMM dalam siri latihan High Risk Visit, Board, Search and Seizure (VBSS).
Menurut MPA Timur, tema eksesais bagi siri kali ini adalah Peperangan dan Search and Rescue (SAR) selaras dengan six years roadmap (2023 – 2028) yang telah dibangunkan.
“Rancangan aktiviti yang dilaksanakan meliputi Fasa Pelabuhan dan Fasa Laut yang terdiri daripada Subject Matter Expert Exchange (SMEE), Table Top Exercise (TTX) dan Field Training Exercise (FTX),” jelas MPA Timur dalam kenyataan pada Sabtu.
Terdahulu, eksesais telah dirasmikan oleh Timbalan Panglima Armada Timur, Laksamana Pertama Mohd Norizal Fahrudin pada 25 September 2024, manakala majlis penutup telah disempurnakan oleh Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Che Engku Suhaimi Che Engku Daik.
“Pelaksanaan Eksesais Samudera Perkasa Timur 2/2024 ini dilihat merupakan platform terbaik untuk memperkasakan aspek kebolehoperasian dan persefahaman komuniti maritim secara bersama dalam menentukan kestabilan dan keamanan serantau khususnya di Laut China Selatan,” ujar kenyataan itu lagi. -airtimes.my
#pertahanan #airtimes #TLDM #APMM #malaysia
Gambar fail: