KUALA LUMPUR, 27 Sept – Tema ‘Angkatan Masa Hadapan Benteng Pertahanan Negara’ bagi sambutan Hari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke-91 yang akan diadakan di Kem Segenting, Port Dickson, Negeri Sembilan pada 4-6 Okt ini bertujuan mempamerkan usaha transformasi ATM ke arah yang lebih baik.
Timbalan Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota Markas ATM Brig Jen Hamdan Ahmad berkata tema berkenaan adalah untuk memaparkan perancangan ATM dalam menambah baik dan mempertingkatkan keadaan sedia ada ATM dari segi teknologi, proses kerja dan aspek lain yang mampu melonjakkan prestasi ATM.
Beliau berkata berdasarkan inti pati beberapa dokumen seperti Kertas Putih Pertahanan, satu rancangan untuk membangunkan ATM sebagai angkatan masa hadapan sudah diperincikan dan pada masa ini, ATM sedang melalui fasa pertama perancangan berkenaan.
Antara ciri angkatan masa hadapan ialah kebersamaan, kebolehoperasian, berasaskan teknologi, keupayaan untuk beroperasi serentak dalam dua wilayah, berorientasikan misi dan kecekapan logistik.
“Berdasarkan rancangan ini, kita menyasarkan agar ATM dapat menambah baik kesemua aspek yang sedia ada dan memenuhi semua ciri itu menjelang 2030,” katanya dalam program Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV hari ini.
Beliau berkata perolehan aset baharu untuk ATM juga akan dilakukan seiring dengan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Sementara itu, beliau berkata pelbagai aktiviti menarik menanti pengunjung pada sambutan Hari ATM ke-91 tahun ini seperti perbarisan tempur statik dan demonstrasi dinamik pada acara pembukaan sambutan yang dijangka dirasmikan Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Mohammad Ab Rahman.
Selain itu, pengunjung juga berpeluang melihat 264 aset ATM yang akan dipamerkan seperti kenderaan Perisai Gempita, Adnan, Lipan Bara, Supercat, Kapal Diraja (KD) Mahawangsa dan KD Jebat, serta pesawat C130, A400, SU-30, F-18, Hawk dan EC725.
“Saya berharap dengan adanya sambutan Hari ATM ke-91 ini, orang ramai dapat memahami peranan ATM dengan lebih baik dan juga pada masa sama sebagai bentuk penghargaan kepada orang ramai atas sokongan tidak berbelah bahagi yang diberikan kepada ATM sepanjang 91 tahun ini,” katanya. – Bernama
#pertahanan #airtimes #HariATM91 #AngkatanMasaHadapan