SARIKEI, 27 Sept – Mendiang anggota Batalion Ketiga Rejimen Renjer Diraja (3 RRD), Koperal Petrus Linggi Liman, selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Persendirian Sungai Raba, Lemujan, pada Khamis.
Pengebumian mendiang yang berusia 29 tahun berlangsung dengan penuh istiadat ketenteraan, sebaik jenazah tiba di tanah perkuburan itu pada jam 7.05 pagi, dengan kerandanya diusung oleh 8 anggota tentera.
Turut hadir, Panglima Divisyen Pertama Infantri Malaysia (1 Div) Mejar Jeneral Datuk Mohamad Fauzi Kamis, pegawai-pegawai kanan Tentera Darat Malaysia (TDM), ahli keluarga dan rakan-rakan mendiang serta penduduk kampung.
Sebaik upacara pengebumian disempurnakan, Mohamad Fauzi kemudian menyerahkan bendera Jalur Gemilang dan juga sumbangan kepada balu mendiang, Grace Jummit Sylvester.
Bendera berkenaan diserahkan sebagai tanda penghargaan dan pengorbanan mendiang yang berbakti kepada negara dan tentera.
Terdahulu, Tentera Darat Malaysia (TDM) mengesahkan, anggota dari Batalion Ke-3 Rejimen Renjer Diraja (3 RRD) itu meninggal dunia ketika sedang melaksanakan Eksesais Pasak Bumi (EPB) di kawasan Song, Kapit selepas ditembak pemburu haram pada jam 2.45 pagi, Isnin lalu.
Menurut TDM, sebelum kejadian mendiang dan kumpulannya dilaporkan sedang berehat berhampiran jalan balak sebelum terkena tembakan rambang.
Mangsa kemudiannya diberi rawatan kecemasan sebelum dikejarkan ke Klinik Kesihatan Song sebelum dirujuk ke Hospital Kapit dan disahkan meninggal dunia 7.43 pagi.-airtimes.my
#TDM #maut #tembakanrambang #Sarawak #9bgd #airtimes #pertahanan