KUCHING, 25 Sept – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 2 lelaki tempatan disyaki pemburu haram yang melepaskan tembakan hingga mengorbankan seorang anggota tentera di kawasan hutan di Song, Kapit, awal pagi Isnin lalu.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata berkata, kedua-dua suspek berusia 31 tahun itu ditahan kira-kira jam 6 petang semalam di Song, hasil siasatan dan maklumat orang awam.
Menurutnya, pihak polis turut merampas selaras senapang patah yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu selain peluru penabur.
“Polis menubuhkan pasukan siasatan khas selepas menerima laporan kejadian itu kira-kira jam 6 pagi Isnin lalu dan hasil siasatan berjaya mengesan dua suspek,
“Permohonan reman akan dibuat terhadap kedua-dua suspek hari ini bagi siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Mancha Ata berkata, hasil soal siasat mendapati, suspek memburu secara haram dan seorang daripada mereka melepaskan tembakan ke arah mangsa yang disangka haiwan liar.
“Selepas melepaskan tembakan, kedua-dua suspek yang menaiki motosikal melarikan diri apabila terdengar jeritan,
“Tembakan mengenai anggota tentera berpangkat koperal berusia 29 tahun menyebabkan peluru terkena bahagian pinggang kiri sehingga menembusi buah pinggang dan hati,” ujarnya lagi.
Pada Isnin, Tentera Darat Malaysia (TDM) mengesahkan, anggota dari Batalion Ke-3 Rejimen Renjer Diraja (3 RRD) berpangkalan di Kem Oya, Sarawak meninggal dunia ketika menjalani Eksesais Pasak Bumi akibat terkena tembakan rambang pada jam 2.45 pagi.
“Anggota berkenaan telah diberi rawatan awal di lokasi kejadian sebelum dikejarkan ke Klinik Kesihatan Song pada 4 pagi dan dirujuk ke Hospital Kapit untuk rawatan lanjut pada kira-kira 5 pagi,
“Bagaimanapun, anggota terbabit telah disahkan meninggal dunia pukul 7.43 pagi di Hospital Kapit akibat kecederaan yang dialami dan satu laporan polis telah dibuat berkenaan kejadian itu,” jelas TDM dalam kenyataan.
Mengulas lanjut, Mancha mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian berkenaan.
Beliau juga meminta mereka yang mempunyai maklumat boleh menyalurkannya kepada polis dengan menghubungi Asisten Superintendan Balie Jelian di talian 011-10702264 atau mana-mana balai polis berhampiran.-airtimes.my
#TDM #maut #pemburuharam #PDRM #airtimes #Sarawak