KUALA LUMPUR, 24 Sept – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menekankan 7 teras utama dalam memacu agensi tersebut terus cemerlang untuk menjadi antara agensi penguatkuasaan maritim yang terbaik di dunia.
Ketua Pengarah APMM yang baharu, Laksamana Muda Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah turut komited memastikan segala sumber, latihan serta keperluan agensi berkenaan akan diusahakan dalam memastikan APMM terus cemerlang seiring visi yang digariskan.
Beliau turut menyeru semua warga APMM untuk membina budaya kepimpinan, akauntabiliti, integriti dan saling menghormati.
“Sikap berkenaan juga perlu ditonjolkan oleh warga APMM di semua peringkat melalui kapasiti dan peranan masing-masing berpandukan kepada 7 Teras Pemerkasaan APMM yang menjadi tonggak utama dalam mewujudkan reformasi agensi tersebut sepanjang dalam kepimpinan beliau,
“Antara 7 teras yang disebutkan adalah Kepimpinan Proaktif dan Inklusif, Taat Setia, Pembangunan Modal Insan dan Organisasi, Pengukuhan Tatakelola, Kesiapsiagaan Aset, Penggunaan Teknologi Terkini dan Pengukuhan Jalinan Kerjasama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Amanat Ketua Pengarah APMM, di Putrajaya pada Isnin.
Mohd Rosli turut menyatakan komitmen untuk memperkukuh dan memodenkan aset – aset pasukan melalui projek perolehan yang telah dirancang seperti Kapal MPMS (Multipurpose Mission Ship), Kapal Ex USCG Cutter serta empat buah helikopter AW189.
“Namun pegawai dan anggota APMM tidak boleh mengharapkan kecanggihan aset semata-mata tetapi perlu menyesuaikan diri, berinovasi dan memiliki perkembangan modal insan dalam menjalankan tugasan yang telah dipertanggungjawabkan,
“Semua pegawai dan anggota perlu menjadi sebuah pasukan yang sentiasa bersedia, profesionalisme, berkemahiran serta mempunyai komitmen yang teguh bagi melaksanakan tugasan yang telah diamanahkan,”ujarnya lagi.
Menerusi amanat tersebut juga, beliau turut menekankan mengenai kepentingan pemerkasaan operasi berikutan cabaran yang semakin dinamik dihadapi pihak agensi seperti isu pencerobohan, pemerdagangan orang dan penyeludupan migran, penangkapan ikan secara haram, penyeludupan dadah, kontraban serta banyak lagi.
Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan Maritim Malaysia, Kepten Kehormat Maritim Tuan Mohd Norzam Mustapa serta pegawai-pegawai kanan Ibu Pejabat APMM.
Terdahulu, Mohd Rosli secara rasmi telah dilantik sebagai Ketua Pengarah APPM ke-7 berkuat kuasa pada 17 September 2024.
Sebelum menyandang jawatan itu, beliau merupakan Pemangku Timbalan Ketua Pengarah Operasi Maritim Malaysia.-airtimes.my