Home Pertahanan dan Keselamatan 48,000 veteran ATM terima bantuan Tabung Pahlawan sejak diperkenalkan – Khaled Nordin

48,000 veteran ATM terima bantuan Tabung Pahlawan sejak diperkenalkan – Khaled Nordin

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR. 24 Sept – Seramai 48,000 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah berjaya dibantu menerusi Tabung Pahlawan yang diperkenalkan Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM) sejak tahun 1950.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, bantuan merangkumi aspek kebajikan iaitu bantuan sara hidup dan bencana alam. Manakala dari aspek kesihatan pula seperti kemudahan dialisis, penyediaan anggota atau bahagian badan palsu serta inisiatif perumahan dan bantuan pengurusan jenazah.

“Hasil sumbangan daripada tabung inilah yang dimanfaatkan secara sistematik dan terurus untuk membantu meringankan beban dan tekanan mereka,” katanya ketika berucap pada Majlis Malam Amal Kempen Tabung Pahlawan di Wisma Perwira ATM, hari ini.

Turut hadir, Penaung Kempen Tabung Pahlawan Dr Wan Azizah Wan Ismail; Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari; Panglima Tentera Darat Muhammad Hafizuddeain Jantan dan Ketua Pengarah JHEV ATM, Mejar Jeneral Datuk Semaon Marjuki.

Mengulas lanjut, Khaled berkata, sehingga kini, hampir 300,000 anggota veteran dan tanggungan yang direkodkan menjadi golongan sasar tabung berkenaan.

Menurutnya, ramai dalam kalangan veteran perlu dibantu terutamanya melibatkan perkara yang tidak disediakan oleh pihak kerajaan antaranya seperti bantuan susu khas, lampin dan peralatan pakai buang.

“Malah, sebahagian besar mereka yang memerlukan bantuan ini adalah veteran terlantar yang daif, berpendapatan rendah dan tidak mampu menguruskan diri,” ujarnya lagi.

Sehubungan itu beliau menyeru lebih ramai individu dan syarikat korporat untuk menyalurkan sumbangan ke tabung berkenaan.

“JHEV ATM akan cuba memudahkan proses memberi sumbangan dan memastikan sumbangan boleh dibuat melalui pelbagai saluran tanpa mengira jumlah dan nilai kerana sumbangan yang diberikan sangat bernilai,

“Dana yang dikutip ini akan bertindak sebagai satu tabung bantuan kecemasan tambahan bagi kumpulan veteran ATM yang memerlukan bantuan dan sokongan yang tidak dapat disalurkan oleh kerajaan dalam keadaan tertentu,” jelasnya.

Tabung Pahlawan adalah satu bentuk dana khas yang dilancarkan dan digunakan oleh Kementerian Pertahanan (MINDEF) untuk kegunaan hal-hal kebajikan khusus untuk para veteran ATM.-airtimes.my

#airtimes #ATM #JHEVATM #veteranATM #TabungPahlawan2024 #Malaysia

Related Articles

Leave a Reply