KUCHING, 23 Sept – Seorang anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) yang sedang menjalani latihan di kawasan hutan Song, maut terkena tembakan yang tidak dikenalpasti, awal pagi tadi.
Sel Perhubungan Raya TDM memaklumkan, anggota dari pasukan bawah naugan Briged Kesembilan Infantri Malaysia (9 Bgd) disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kapit pada 7.43 pagi.
“Ketika kejadian, anggota sedang melaksanakan latihan Pasak Bumi di kawasan am Song, Sarawak bermula pada 21 hingga 29 September 2024 melibatkan kawasan am Kanowit – Nanga Dap – Song dan berkekuatan satu Kompeni,
“Pada 23 September 2024 (hari kedua latihan) jam lebih kurang 2.45 pagi, sewaktu sedang berehat (berlabuh), Platun telah mendengar bunyi motorsikal melalui jalan tidak berturap (jalan balak) berdekatan lokasi mereka berlabuh. Secara tiba-tiba, kedengaran bunyi tembakan yang dipercayai datang dari arah motorsikal berkenaan,
“Curiga dengan tembakan tersebut, pemeriksaan perimeter dilaksanakan serta merta dan mendapati seorang anggota telah cedera akibat tembakan tersebut,” jelas TDM dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menurut TDM, anggota telah diberi rawatan awal di lokasi kejadian sebelum dikejarkan ke Klinik Kesihatan Song pada jam 4.00 pagi.
Seterusnya anggota telah dirujuk ke Hospital Kapit untuk rawatan lanjut pada jam lebih kurang 5.00 pagi. Namun begitu, anggota telah disahkan meninggal dunia pada jam 7.43 pagi di Hospital Kapit akibat kecederaan yang dialami.
Susulan insiden itu, satu laporan polis telah dibuat dan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang melaksanakan siasatan lanjut.
Sehubungan itu, masyarakat diingatkan agar tidak menularkan sebarang gambar atau maklumat berkenaan insiden tersebut untuk memberi ruang kepada siasatan yang sedang dijalankan serta menghormati waris dan ahli keluarga mangsa.
Rancangan pengurusan jenazah akan disempurnakan selepas proses post mortem selesai. -airtimes.my
#TDM #maut #latihan #siasatan #PDRM #airtimes