Home Pertahanan dan Keselamatan 1,435 pegawai kadet Palapes terima watikah tauliah dalam angkatan pasukan simpanan

1,435 pegawai kadet Palapes terima watikah tauliah dalam angkatan pasukan simpanan

by Zaki Salleh

TANJUNG MALIM, 23 SEPT – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mahu anggota tentera yang menyempurnakan amanah dan memenuhi tanggungjawab perlu menjadikan pegangan serta prinsip kepercayaan kepada Tuhan sebagai panduan.

Baginda bertitah, ini perlu supaya perjuangan mereka tidak tersasar daripada landasan sebenar.

“Semangat kesetiaan kepada raja dan negara mesti dijunjung setiap masa, berteraskan Perlembagaan dan berpaksikan undang-undang.

“Disiplin yang menjadi budaya saudara-saudari hendaklah dipamerkan melalui tingkah laku yang bersopan dan bersusila,” titah Baginda.

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Awam ke-42 di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada Sabtu lalu.

Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Hadir sama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Pemangku Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan.

Sultan Nazrin turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua pegawai kadet yang ditauliahkan.

Seramai 1,435 pegawai kadet Palapes daripada 20 universiti awam menerima watikah masing-masing sebagai pegawai muda dalam pasukan simpanan.

Daripada jumlah tersebut seramai 810 bagi Rejimen Askar Wataniah, 350 di Pasukan Simpanan Sukarela TLDM (350) dan Pasukan Simpanan Sukarela TUDM (275).

Seramai 35 pula  menerima Anugerah Pegawai Terbaik iaitu 16 (Darat), 11 (Laut) dan lapan (Udara) mewakili universiti masing-masing.

Majlis hari ini sebagai pengiktirafan kepada pegawai kadet Palapes yang telah berjaya mengikuti latihan sepanjang tiga tahun di universiti.

Seperti yang diketahui, Palapes memainkan peranan yang sangat penting dalam melahirkan pegawai simpanan yang bersedia berkhidmat kepada negara.

Mereka bukan sahaja terlatih daripada aspek segi ketenteraan, tetapi juga merupakan pemimpin yang berpotensi dalam pelbagai bidang profesional.

Sehingga kini, seramai 39,056 yang mengikuti program Palapes berjaya ditauliahkan sebagai pegawai melalui pasukan simpanan perkhidmatan masing-masing.

Peranan yang dimainkan universiti awam sepanjang tempoh penubuhan Palapes membuktikan kerjasama strategik antara kementerian yang terlibat. – airtimes.my

#Pertahanan #Palapes

Related Articles

Leave a Reply