KUALA LUMPUR, 20 Sept – Insiden yang melibatkan pasukan pengaman Malaysian Batalion (MALBATT850-11) di Lubnan, berlaku ketika melalui kawasan di bawah tanggungjawab pasukan pengaman Itali (ITALBATT).
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kenderaan yang membawa 3 pegawai dan 7 anggota MALBATT 850-11 itu dalam perjalanan pulang ke kem Marakah.
“Dari laporan yang saya terima, memang ada insiden di mana kereta peronda MALBATT telah dibaling dan dilakukan tindakan yang menyebabkan beberapa kerosakan,
“Kawasan yang dilalui oleh kenderaan MALBATT850 bukan kawasan yang ditugaskan tetapi kerana ada mesyuarat dalam kawasan itu yang pertanggungjawabkan kepada pasukan Itali,” katanya.
Beliau menambah, kawasan tersebut dikenali sebagai kawasan di mana penduduk tempatan bersikap dingin terhadap pasukan pengaman yang dikendalikan oleh pasukan Itali.
Mohamed Khaled berkata, selepas dimaklumkan oleh pegawai MALBATT kepada penduduk bahawa mereka adalah pasukan Malaysia, tindakan agresif tersebut dihentikan dan semua anggota terselamat.
“Dengan pengalaman itu, memang kita diminta untuk hadir ke mesyuarat di kawasan-kawasan lain. Jadi kita kena berhati-hati,
“Mungkin pasukan kita kena letak bendera Malaysia dan sebagainya, apabila bergerak keluar dari kawasan yang kita keluar dan jaga,” jelas Menteri Pertahanan.
Beliau juga mengesahkan tiada pegawai atau anggota yang mengalami kecederaan dalam insiden berkenaan.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya kini sedang menunggu laporan rasmi dari pasukan MALBATT 850-11 yang kini berada di Lubnan.
Terdahulu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengesahkan 2 kenderaan MALBATT yang menjalankan misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) di Lubnan, terlibat dalam serangan sekumpulan orang awam pada Rabu.
Menurut Markas ATM, insiden tular di media sosial itu berlaku pada hari Rabu sekitar jam 11.32 malam waktu Malaysia (5.32 petang waktu Lubnan). -airtimes.my
#MALBATT #Lubnan #serang #Malaysia #ATM #airtimes