Home Pertahanan dan Keselamatan Malaysia kekal tegas tangani isu Laut China Selatan secara dialog, perbincangan

Malaysia kekal tegas tangani isu Laut China Selatan secara dialog, perbincangan

by Nurulhuda

KOTA BHARU, 19 Sept – Malaysia kekal dengan pendirian untuk terus tegas mempertahankan kedaulatan sempadan negara termasuk perairan Laut China Selatan untuk kegiatan ekonomi dan perdagangan.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, sekiranya terdapat konflik atau isu berbangkit di kawasan terlibat, Malaysia akan menggunakan kaedah perbincangan, diplomasi dan dialog bagi penyelesaian masalah.

“Baru-baru ini kita sudah sampaikan pandangan kita pada forum yang diadakan di Beijing, China terutamanya berkaitan keselamatan di perairan Laut China Selatan.

“Kita ingin tegaskan, soal kedaulatan negara akan kita pertahankan dan kesemua negara yang terlibat sudah sedia maklum mengenai perkara tersebut,” katanya seperti Bernama.

Beliau berkata demikian selepas Program Pemerkasaan Usahawan Veteran ATM (PUVET ATM), hari ini.

Menurutnya, jika dilihat berdasarkan peruntukan undang-undang antarabangsa, pihaknya akan memastikan perairan Laut China Selatan menepati ‘Freedomland Of Navigation’ yang bermaksud pelayaran dan keperluan maritim harus diberikan keutamaan.

“Bagi pihak Malaysia dan China hubungan kita agak baik dan sudah terjalin sudah lebih 50 tahun..walaupun masing-masing mempunyai dakwaan tersendiri tetapi kita tetap tegas apa sahaja isu akan dibincangkan dan China terbuka mengenainya sebagaimana hasrat yang disampaikan ketika dialog di Beijing sebelum ini,” ujarnya lagi.

Media sebelum ini melaporkan, China sejak awal tahun ini dilaporkan meningkatkan keberadaan pasukan tentera dan pengawal pantai di Laut China Selatan khususnya di Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE).

Sementara itu, Wisma Putra mengesahkan menerima laporan kehadiran kapal asing pelantar minyak luar pesisir di negara ini di perairan Sarawak.

Kehadiran pasukan tentera dan pengawal China itu turut menyebabkan beberapa insiden pertembungan dengan tentera Filipina dengan kejadian terkini dilaporkan pada 31 Ogos lalu.

Terdahulu beliau hadir di sebuah hotel di sini, menyampaikan geran Sokongan Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar (SPKLB) bernilai RM105,000 kepada 21 usahawan veteran ATM di sekitar Kelantan yang terbabit dalam perniagaan berasaskan perkhidmatan, makanan, penternakan dan pertanian.-airtimes.my

#LautChinaSelatan #Malaysia #China #pertahanan #airtimes

Related Articles

Leave a Reply