KUALA LUMPUR, 19 Sept – Ada darah perwira yang mengalir pada tubuh Perajurit Muda Ahmad Hasnain Makhluf Azizul Hakim yang dinobatkan sebagai Perajurit Muda Keseluruhan Terbaik Lelaki Siri 200/24 yang menamatkan latihan Ahad lepas.
Ahmad Hasnain yang juga ketua perbarisan mengetuai 1,444 pelatih pada perbarisan tamat latihan tersebut di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) Port Dickson, Negeri Sembilan.
PUSASDA yang menjadi tempat lahirnya perwira menjadi saksi langkah awal Ahmad Hasnain bergelar perajurit negara.
Pelatih siri ini memulakan latihan ketenteraan pada 8 Mac lalu.
Berasal dari Seremban, Negeri Sembilan, anak sulung daripada 2 beradik ini akan berkhidmat dalam pasukan infantri, Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD).
Darah keperwiraannya diwarisi daripada Allahyarham datuk, Haji Mohamad Nor Mahmud yang merupakan pesara RAMD.
Selepas menamatkan persekolahan, Ahmad Hasnain bekerja di kilang Nestle sebagai operator pengeluaran.
Sejak lepas SPM, datuknya pada masa selalu bertanya, “Amad tak nak masuk askar ke?”
Tapi pertanyaan tersebut disambut dengan senyuman lantas menggelengkan kepala.
Hinggalah selepas pemergian datuknya pada 11 November 2021, Ahmad Hasnain masih tidak memikirkan permintaan tersebut.
Bagaimana pun, awal tahun ini fikirannya berubah apabila nekad memohon untuk kemasukan Latihan Perajurit Muda Lelaki sebaik iklan disiarkan.
Dia sanggup berhenti kerja walaupun sudah mempunyai gaji yang selesa selepas lebih 4 tahun bekerja kilang.
Rezeki memihak kepada Ahmad Hasnain apabila dia melepasi ujian kelayakan seterusnya melangkah bersama-sama ribuan pelatih memulakan kehidupan baharu di PUSASDA.
Demi bergelar tentera, dia sanggup meninggalkan isteri sepanjang 6 bulan latihan berlangsung.
Mengakui mulanya berdepan kesukaran untuk menyesuaikan diri, apatah lagi menjalani latihan ketenteraan yang asing sehingga terfikir untuk menarik diri, namun segala cabaran ditelan apabila mengingatkan Allahyarham datuknya.
Allahyarham Haji Mohamad Nor Mahmud yang menyertai Askar Melayu semasa era Darurat bersara dengan pangkat koperal.
Pernah berkhidmat dalam misi pengaman Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Congo, Afrika Tengah (Malayan Special Forces Congo – UNOC) 1960, kemudian bertugas di beberapa negeri mengikut pasukan.
Antaranya di Kem Sungai Besi, Kem Ipoh, Kem Sungai Udang, Kem Terendak, Sabah, Sarawak dan terakhir di Kem Kluang, Johor.
Sepertimana tentera zamannya, Allahyarham pernah berjuang melawan pengganas komunis dalam beberapa operasi semasa Darurat dan Insurgensi.
Dalam satu pertempuran, Allahyarham mengalami kecederaan akibat terkena tembakan pada kaki dan paha.
Justeru, tidak hairanlah darah keperwiraan yang mengalir diwarisi cucundanya, Ahmad Hasnain.-airtimes.my
#PerajuritMuda #TDM #pertahanan #airtimes #PUSASDA #Malaysia