Home Pertahanan dan Keselamatan MINDEF akan pastikan anggota tentera miliki diploma, ijazah sebelum bersara

MINDEF akan pastikan anggota tentera miliki diploma, ijazah sebelum bersara

by Nurulhuda

PORT DICKSON, 15 Sept – Kementerian Pertahanan (MINDEF) akan memastikan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mempunyai sekurang-kurangnya memiliki sijil diploma atau ijazah sebelum mereka menamatkan perkhidmatan mereka.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Program Pembelajaran Berasaskan Pekerjaan (WBL) itu hasil kerjasama dengan Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) itu kini dalam peringkat kajian.

“Kita mulakan dengan diploma dahulu sebab ramai yang masuk melalui Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Nanti kita akan kaji mana satu Program Pembelajaran berasaskan kerja atau WBL boleh dapat ijazah,

“Dengan mengambil kira pengalaman mereka (anggota tentera) ketika berada dalam ATM, dengan jawatan-jawatan tertentu dan berasaskan kepada kemahiran serta kompetensi yang dikuasi sepanjang berkhidmat. Maka pada akhirnya apabila bersara, mereka sudah mempunyai sekurang-kurangnya diploma,

“Pihak kementerian telah kenal pasti 10 jenis pekerjaan dalam tentera sebagai permulaan yang boleh dianugerahkan dengan diploma kepada mereka,

“Sebab pengalaman saya sebagai Menteri Pengajian Tinggi dulu memang boleh dilakukan hanya kita belum mula di negara ini,” katanya selepas selesai Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Lelaki Siri 200/2024 di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda) pada Ahad.

Sebahagian besar anggota ATM bersara pada umur 41 tahun. Usia itu sepatutnya diperlukan untuk menyumbang kepada kemajuan negara dan kalau masuk pasaran kerja tanpa apa-apa, sangat merugikan – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled. Foto: AirTimes/N.Huda

Tegasnya, penekanan terhadap pemilikan sijil berkenaan dilakukan berikutan sebahagian besar daripada Anggota Tentera Malaysia (ATM) akan bersara pada umur 41 hingga 45 tahun.

“Sebahagian besar anggota ATM bersara pada umur 41 tahun, usia itu sepatutnya diperlukan untuk menyumbang kepada kemajuan negara dan kalau masuk pasaran kerja tanpa apa-apa, sangat merugikan,

“Jadi atas itulah kita sediakan program ini, apabila bersara kelak anggota ini ada peranan dalam soal menyumbang kepada pembangunan kemajuan negara,” ujarnya lagi.

Dalam masa yang sama, Mohamed Khaled berkata usaha ini lambang keprihatinan kerajaan terhadap seluruh warga ATM dan perlu dimanfaatkan sebaiknya perajurit muda mempelbagaikan kemahiran masing-masing dalam berbagai-bagai bidang.

“Kita sentiasa menghargai sumbangan mereka, walaupun sudah keluar atau bersara, mereka akhirnya dibekalkan diploma atau ijazah,” jelasnya.

Seramai 1,144 Perajurit Muda Tentera Darat Malaysia (TDM) berjaya menamatkan latihan bagi pengambilan kali ini. Foto: AirTimes/N.Huda

Terdahulu, Mohamed Khaled telah memeriksa perbarisan yang terdiri dari 1,144 Perajurit Muda yang berjaya menamatkan Latihan Asas Tentera Darat yang diketuai oleh Perajurit Muda Lelaki Ahmad Hasnain Makhluf Azizul Hakim.

Turut hadir, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab. Rahman dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan.-airtimes.my

#pertahanan #PerajuritMuda #TDM #TLPM #PUSASDA #airtimes

Related Articles

Leave a Reply